PERAK TOLAK NAIKKAN TARIF AIR?

 

Perak belum membuat keputusan ke atas tarif airnya walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membenarkan ia dinaikkan purata 22 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Feb.

Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata Lembaga Air Perak perlu menjalankan kajian terhadap pelarasan tarif air negeri dan tidak tertakluk kepada keputusan SPAN berkenaan.

“Jika LAP hendak mengikut sepertimana dibenarkan oleh SPAN maka LAP perlu bawa cadangan itu dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah sebelum di bawa ke mesyuarat exco,” katanya menurut Sinar Harian selepas menghadiri lawatan kerja meninjau Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Changkat Jering.

Beliau yang juga pengerusi LAP berkata, exco kerajaan negeri akan buat keputusan muktamad berhubung kenaikan tarif air di negeri itu.

“Perkara ini tidak tertakluk kepada ‘kita mesti ikut’ kerana kita bergantung kepada kajian terlebih dahulu untuk melihat kelebihan dan kekurangan.

“Kajian ini masih berjalan, ia tidak boleh terhenti setakat satu-satu waktu kerana mengambil kira bilangan pengguna yang bertambah, usia paip, meter dan sebagainya,” katanya.

Hari ini, SPAN dalam kenyataan berkata, pihaknya membenarkan tarif air domestik akan dinaikkan purata 22 sen bagi setiap meter padu di Semenajung dan Labuan, berkuat kuasa bulan depan.

Katanya, pelarasan tarif air itu berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun kerajaan persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras kenaikan tarif.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/17/perak-belum-putus-naik-tarif-air-kata-mb/

 

No comments: