HARAPAN KEPADA MENTERI KEWANGAN KEDUA

 

Sebaik diumumkan semalam, boleh dikata rata-rata orangramai menerima dengan baik perlantikan Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan Kedua sebagaimana dibentangkan dalam rombakan kabinet oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Sebagai bekas CEO KWSP dan berpengalaman menerajui beberapa entiti korporat sebelum itu, beliau dilihat cukup layak untuk membantu Anwar mengemudi kementerian yang banyak berkaitan dengan hal ehwal wang itu.

Tidak kedengaran sama sekali ada suara yang ragu-ragu tentang kelayakannya sebagai seorang teknokrat dengan perlantikan tersebut.

Tetapi, menjelang petang dan malam semalam, beberapa kenalan politik dan orang perniagaan telah menghubungi saya menzahirkan kebimbangan mereka berkenaan Kementerian Kewangan pasca rombakan kabinet yang baru diumumkan.

a berikutan, selepas Amir Hamzah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, sebaliknya jawatan Timbalan Menteri Kewangan hanya diisi satu saja berbanding dua sebelumnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan ialah Ahmad Maslan (UMNO) dan Steven Sim (DAP) manakala Anwar (PKR) adalah Menteri Kewangan.

Dengan komposisi itu, ia seolah-olah lengkap di mana semua kelompok orangramai ada ruang dan jalan untuk datang ke Kementerian Kewangan.

Begitu pun dalam rombakan semalam, satu-satunya Timbalan Menteri Kewangan yang dilantik ialah Lim Hui Ying, anak kepada Lim Kit Siang daripada DAP.

Meskipun Anwar tetap ada selaku Menteri Kewangan, ditambah dengan Amir Hamzah sebagai Menteri Kewangan Kedua, kebimbangan beberapa orang politik dan ahli perniagaan yang menghubungi saya ialah dengan siapa mereka mahu berjumpa atau mengadu jika ada masalah semasa yang dihadapi berkaitan Kementerian Kewangan selepas ini?

Sementara semua mereka memahami Anwar begitu sibuk dan sukar ditemui, persoalannya, tambah mereka, adakah Amir Hamzah seorang yang terbuka, mudah mesra dan senang ditemui?

Bagi orang politik dan ahli perniagaan terbabit, walaupun kerajaan sekarang adalah kerajaan perpaduan, tetapi mereka tetap merasakan agar sukar untuk berurusan atau datang mengadu masalah kepada Lim Hui Ying.

Lainlah sebelum ini sewaktu ada Ahmad Maslan di situ, wataknya yang mudah mesra, senang ditemui dan kedudukannya sebagai orang politik lebih memudahkan sesiapa saja untuk berjumpa, mengadu masalah atau meminta apa-apa pertolongan daripadanya, kata mereka.

Selepas ini, jika kami ada masalah dan ingin meminta pertolongan, adakah Amir Hamzah sentiasa terbuka pintu pejabatnya untuk kami?, tambah mereka.

Sehingga ini, melalui pencarian daripada pelbagai sumber, masih tidak jelas bagaimana watak dan keperibadian sebenar Amir Hamzah dalam kehidupan seharian.

Jika beliau seorang yang mudah mesra, senang ditemui dan sentiasa ada keinginan untuk membantu, keberadaannya sebagai Menteri Kewangan Kedua bukan saja sesuatu yang menggembirakan orangramai, malah pastinya juga secara tidak langsung merupakan rahmat kepada Anwar.

Oleh kerana bukan sesuatu yang mudah untuk berjumpa Anwar kerana kesibukan jadualnya sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, namun jika ruang sentiasa terbuka untuk berjumpa Amir Hamzah dan masalah yang dibaww pula selesai, bermakna tiada apa-apa lagi isu berbangkit yang membimbangkan.

Memang Amir Hamzah dalam kapasiti jawatannya perlu membantu Anwar mengurus Kementerian Kewangan dalam usaha melonjakkan iklim ekonomi yang lebih baik untuk rakyat berdasarkan kemampuan, kelayakan dan pengalamannya, sebagai Menteri Kewangan Kedua juga beliau tidak harus terpisah dengan orangramai yang ingin datang berjumpa dengannya sambil membawa pelbagai masah dan urusan cari makan.

Iyalah, fungsi Kementerian Kewangan itu berkaitan dengan wang dan orangramai memang memerlukan wang untuk kehidupan, maka adalah lumrah jika ia menjadi tumpuan, terutama orang politik dan ahli perniagaan Bumiputera.

Lagi pun, kalau bukan dengan kerajaan, dengan siapa lagi mereka nak cari makan?

Kalau tak boleh nak cari makan, bagaimana mereka hendak terus berjuang bagi memastikan parti kekal jadi kerajaan?

Akhirnya, semoga Amir Hamzah dapat berfungsi dengan baik dalam kedua-dua peranannya itu – membantu Anwar di Kementerian Kewangan dan memberi pertolongan kepada sesiapa yang wajar untuk ditolong. – ShahbudinHusin 13/12/2023.


No comments: