JADINYA SANUSI KLUSTER MAHKAMAH BUKAN KERANA POLITIK, MALAH TIADA KAITAN DENGAN POLITIK



 Walaupun telah disebut sebelum ini, malah ramai orang juga sudah menyebutnya, kali ini saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pendakwaan di bawah Akta Hasutan terhadap Menteri Besar Besar, Sanusi Md Nor bukanlah bersifat politik dan tiada kaitan sama sekali dengan sebarang unsur politik.

Beliau didakwa di mahkamah adalah kerana memperlekeh dan mempertikaikan Raja – pertama, terhadap Sultan Selangor dalam perlantikan Menteri Besar dan kedua, terhadap Yang Dipertuan Agong berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.

Dakwaan mempertikaikan Sultan Selangor dan Agong itu dibuat Sanusi dalam ucapan terbuka yang bererti ia memperlihatkan kecenderungan untuk menghasut dan membangkitkan perasaan tidak setia kepada Raja.

Harus difahami bahawa perlantikan Menteri Besar adalah hak serta budi bicara Sultan sesebuah negeri dan memperlekeh perlantikan yang dibuat Sultan adalah bererti sama seperti memperlekeh kebijaksanan baginda.

Begitu juga dengan penubuhan kerajaan perpaduan, keceluparan Sanusi menuduh Agong tidak pernah menitahkan perkara itu adalah juga keterlaluan, menyeleweng dan seolah-olah merendah-rendahkan kebijaksanaan baginda dalam menyelesaikan kemelut politik negara.

Perkara itu bukan saja difahami memang titah baginda, bahkan Mahiaddin Md Yasin, selepas mengadap Agong sesudah PRU15 lalu juga ada menyebut tentang hasrat penubuhan kerajaan perpaduan oleh baginda itu.

Mahiaddin memberitahu, PN menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan atau unity goverment yang dicadangkan Agong itu.


Jika idea menubuhkan kerajaan perpaduan bukan sesuatu yang dititahkan Agong, bagaimana Mahiaddin boleh menyebut mengenainya?

Makna mudahnya, penubuhan kerajaan perpaduan memang merupakan idea serta titah Agong dan bukan direka-reka oleh Anwar sebagai didakwa oleh Sanusi.

Berdasarkan keceluparan Sanusi memperlekeh dan mempertikai dua Raja dengan dua perkara yang berbeza itu, beliau memang sepatutnya didakwa di mahkamah dan kini secara langsung bergelar kluster mahkamah.

Dengan itu, pendakwaan terhadap Sanusi tiada kaitan dengan politik, tidak berunsur politik dan tidak untuk kepentingan politik mana-mana parti dalam kerajaan sebagaimana dituduh oleh pihak-pihak tertentu.

Tindakan yang diambil adalah semata-semata berdasarkan kesalahan atau kebiadapan yang Sanusi lakukan terhadap Raja.

Lebih daripada itu, kalau kita lihat juga, semua laporan polis terhadap Sanusi, termasuk oleh Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor, semunya adalah berkaitan perlekehannya terhadap Sultan Selangor.

Tiada satu pun ada laporan polis terhadap keceluparan Sanusi yang menggelar Amiruddin sebagai Menteri Besar yang “cokia” dan “tak cukup inci”.

Hal yang sama juga dalam konteks istilah kerajaan perpaduan yang Sanusi dakwa hanya rekaan dan gembar-gempur Anwar saja, tiada laporan polis berkaitan tuduhan fitnah yang dibuatnya itu kepada Perdana Menteri.

Meski tidak dapat dipastikan sama ada wujud laporan polis berkaitan tindakan Sanusi mempertikaikan titah Agong berkaitan kerajaan perpaduan itu, tetapi pihak berkuasa barangkali memutuskan ucapan Menteri Besar berkaitan perkara itu adalah merupakan perbuatan melampau serta tidak wajar oleh seorang pemimpin atau ketua kerajaan negeri.


Maka sebab itulah Sanusi akhirnya didakwa di mahkamah berkaitan tuduhan terhadap penubuhan kerajaan perpaduan itu.

Melihat bagaimana kedua-dua isu dijadikan modal oleh Sanusi, persoalan yang timbul – berpolitik parti Islam apa kalau nama Raja sewenang-wenangnya boleh diheret dalam keghairahan untuk memperolehi undi?

Mudah kata, di sinilah perlunya Akta Hasutan untuk terus melindungi kedudukan Raja-Raja sebagai payung kepada rakyat jelata.

Bayangkan kalau ada 10 orang macam Sanusi dan di waktu yang sama tiada Akta Hasutan?

Sebaliknya, orang politik Perdana Menteri dan menteri-menteri tidak memerlukan pun Akta Hasutan kerana jika difitnah, dipertikai dan diperlekeh secara keterlaluan, mereka boleh memfailkan saman atau membuat laporan polis terhadap sesiapa yang menuduh demikian.

Tetapi, atas kedudukan istimewa mereka, Raja mesti sentiasa dilindungi oleh Akta Hasutan. – ShahbudinHusin 20/07/2023.


No comments: