PETALING JAYA: Anwar Ibrahim dijangka hadir di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, malam ini bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Perdana menteri itu dijadualkan hadir ke bangunan itu kira-kira 8.30 malam ini, seperti disahkan oleh jurucakap sekretariat yang dihubungi Berita Harian.
Selain Anwar, mesyuarat tersebut juga akan dihadiri Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, tokoh penting lain daripada Umno dan Barisan Nasional (BN), serta pemimpin utama parti Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan.
Pada Perhimpunan Agung Umno lalu, Zahid mengumumkan penubuhan sekretariat itu, yang ditubuhkan bersama parti-parti dalam kerajaan perpaduan, diketuai Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Zahid, sekretariat itu antara lainnya bertujuan menjamin kelangsungan kerajaan perpaduan, dan dari semasa ke semasa akan membincangkan perjalanan kerajaan dan langkah ke hadapan, termasuk berhubung kerjasama politik.
Anwar dipecat daripada Umno pada 3 Sept 1998, selepas dilucutkan jawatan timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ketika itu atas dakwaan rasuah dan liwat.