JAMZURI ARDANI
BN, PN, GTA ... semua berebut untuk dapatkan undi Melayu
konservatif.
Hanya PH boleh menjadi pilihan pengundi Melayu progresif. Tetapi
golongan pengundi Melayu progresif tidak ramai ... hanya sekitar 15 -20%
sahaja. Kebanyakan mereka tinggal di bandar-bandar besar dan Lembah Kelang.
Apa yang PH perlu lakukan ialah membantu golongan Melayu
progresif melebarkan pengkalan sokongan dan pengaruh di kalangan masyarakat
Melayu.
1. DAP perlu segera berhenti membuat kenyataan atau mengambil
tindakan yang bersifat provokatif terhadap masyarakat Melayu. Kalau tidak,
selangkah Amanah dan PKR menapak ke depan, dengan satu kenyataan provokasi dari
DAP sahaja terpaksa undur balik dua langkah ke belakang. Sampai bila pun
golongan progresif Melayu sukar untuk melebarkan pengaruhnya.
2. Golongan progresif Melayu perlu bijak menangani permainan
sentimen 'fear factor' yang sentiasa menjadi modal politik pemimpin ultra
nasionalis, ekstrimis, dan konservatif Melayu. Jangan mudah terperangkap dengan
provokasi dan permainan sentimen golongan ultra konservatif Melayu. Kenyataan
YB Hanipa Maidin berkenaan Oktoberfest baru-baru ini adalah satu contoh
bagaimana golongan progresif Melayu terperangkap dengan permainan pihak lawan.
Mungkin ianya boleh dipertahankan dari sudut hujah, tetapi masyarakat Melayu
secara umumnya lebih tertarik dengan permainan sentimen berbanding
rasionalisasi hujah.
3. Golongan Melayu progresif ketinggalan dari sudut
'infrastruktur sosial' bagi melebarkan pemikiran dan pengaruh di kalangan
masyarakat luar bandar. Tiada NGO yang berktrampilan, tiada institusi yang
dapat dikuasai, dan tiada media yang bercapaian luas sehingga mampu sampai ke
masyarakat luar bandar. Ini perlu diperbaiki segera.