Duit KWSP sakan beraya, apa penyelesaian kerajaan selepas ini?
Kerajaan BN dibidas kerana membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelang Hari Raya Aidilfitri yang menyebabkan segelintir rakyat Malaysia sakan berhari raya.
Calon Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad kesal dengan sikap sesetengah pencarum yang menggunakan wang mereka untuk berhari raya tanpa memikirkan masa hadapan dan tanpa simpanan yang cukup pada hari tua.
Katanya, sikap berhari raya menggunakan wang caruman sendiri hanya akan merugikan diri pencarum sendiri.
“Ada yang mampu berdepan hari raya kerana buat keluaran KWSP.
“Tapi sekarang pengeluaran dah habis guna beraya,” katanya di Facebook
Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga mempersoalkan apakah tindakan kerajaan selepas ini memandangkan kos kehidupan terus meningkat, adakah mereka akan membenarkan pengeluaran KWSP sekali lagi.
Beliau kesal kerana kerajaan BN tidak mempunyai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah ekonomi rakyat dan negara.
“Isu kos sara hidup terus meningkat.
“Apa penyelesaian kerajaan selain rakyat guna duit rakyat sendiri?” tanya lagi.
Pengeluaran wang KWSP menjadi perbicaraan netizen di ruang maya apabila Hari Raya Aidilfitri kali ini lebuh lebuh raya utama mengalami kesesakan luar biasa pada setiap hari sepanjang seminggu cuti perayaan.
Begitu juga penjualan mercun dan bunga api yang terus dilakukan sehingga selepas 4 hari berhari raya dan terus mendapat permintaan tinggi. Dikhuatiri semangat luar biasa beraya itu berpunca daripada ‘lebihan wang disaku’ dan dibelanjakan dengan boros.