Selagi Hadi dan Muhyiddin ‘rapat’, sukar untuk MN kembali bernyawa, kata penganalisis
PETALING JAYA: Sikap dingin antara Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin utama Umno termasuk Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk jelas Muafakat Nasional (MN) sudah tidak “bernyawa”, kata penganalisis politik Sayuti Omar.
Beliau berkata, masa depan MN juga kabur selepas Hadi tidak berjaya memujuk Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk bergabung di atas platform “perpaduan ummah” itu.
“Masalah ini menggambarkan seperti PAS sudah hampir muktamadkan akan berpisah dengan Umno. MN tidak akan jadi seperti mana diharapkan (oleh sebahagian pemimpin PAS dan akar umbinya),” kata Sayuti kepada FMT.
Katanya, MN juga boleh dikatakan telah gagal kerana pemimpin PAS lebih senang dan percaya kepada Perikatan Nasional (PN) berbanding Zahid dan Najib Razak yang bergelut dengan kes mahkamah mereka.
“Ibarat mereka lebih suka atau yakin dengan Muhyiddin berbanding Zahid dan Najib.”
Katanya, MN hanya akan bernyawa jika Muhyiddin terbuka hati untuk menerima Umno di atas tiket MN, namun beliau berkata, belum ada petanda ke arah itu.
“MN boleh hidup sekiranya Muhyiddin sedia untuk berkolaborasi dengan Umno, tetapi setakat ini belum ada petanda itu. Hadi lebih intim dengan Muhyiddin.
“Secara logiknya, selagi Hadi bersama Muhyiddin, sukar untuk PAS kembali bertaut seperti dahulu dengan Umno. Melainkan Zahid dan Najib tidak lagi berada atau berundur daripada Umno,” katanya.
Bagaimanapun, Sayuti berpandangan, Umno dan PAS akan memberi autonomi kepada kerjasama kedua-dua parti di Selangor, memandangkan landskap politik di negeri PKR itu berbeza berbanding negeri lain.
“Hubungan dan kerjasama PAS-Umno mungkin akan berlaku di Selangor, kerana negeri itu mungkin akan diberikan pengecualian atau autonomi oleh kedua-dua parti menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya.
Semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor Mac lalu, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyatakan kerjasama politik antara parti itu dan PAS “biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi.”
Bagaimanapun, Hadi yang sebelum ini lebih cenderung kepada Muhyiddin baru-baru ini menegaskan, PAS akan terus berusaha mempertahankan kerjasama MN dengan Umno walaupun hubungan antara kedua-dua parti ibarat retak menanti belah.
Selain itu, Sayuti berpandangan, kenyataan Hadi yang bertentangan dengan Zahid itu boleh disifatkan sebagai modal politiknya yang masih berharap Umno-Bersatu-PAS bergabung dalam PRU15.