Nampaknya keinginan dan rasa
ghairah Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin untuk kembali jadi Perdana Menteri
buat kali kedua bukan lagi suatu perkara main-main.
Sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad mengesahkan beliau telah
didatangi oleh Mahiaddin yang bertujuan meminta sokongan daripadanya untuk
berkuasa semula.
Semalam, Presiden Warisan, Shafie Apdal pula
mendedahkan hal yang sama.
Kata bekas Ketua Menteri Sabah
itu, Mahiaddin meminta sokongan daripadanya sambil mendakwa sudah dianya sudah
berjumpa dengan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim serta telah memiliki 119 dokongan
daripada Ahli-Ahli Parlimen.
Dengan Tun Mahathir dan Shafie secara terbuka memberi pengesahan
didekati Mahiaddin, sukat dilihat mereka itu tidak bercakap benar atau
mereka-reka cerita.
Yang jelas, keghairahan Mahiaddin untuk merampas kembali jawatan
Perdana Menteri yang sebelum ini dilepaskannya tidak ubah seperti seorang duda
yang ingin berbini lagi setelah tertelan sebiji viagra.
Apakah Mahiaddin tidak mengukur baju di badannya sendiri?
Tidak sedarkah beliau bahawa dirinya adalah Perdana Menteri yang
gagal dan telah dijatuhkan sebelum ini?
Apa yang boleh diharapkan
daripada seorang yang gagal jika diangkat semula mengetuai negara?
Yang peliknya, jika benar Mahiaddin sudah ada 119 Ahli Parlimen
menyokongnya, nak tunggu apa lagi?
Atas munasabah apakah Ismail Sabri Yaakob yang merupakan pilihan
Mahiaddin sendiri untuk menggantikannya, tapi kini mahu dijatuhkan pula?
Sebenarnya jangankan ikut logik akal, guna hukum rimba pun tidak
mungkin singa yang telah gagal mahu diangkat semula sebagai ketua untuk menjaga
hutan belantara.
Selain itu, turut sukar untuk dipercayai ialah dakwaan Mahiaddin
kepada Shafie bahawa Anwar telah menyatakan kesediaan memberi sokongan
kepadanya untuk jadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Gila ke Anwar yang patut lebih
layak dan belum merasa jadi Perdana Menteri tiba-tiba setuju memberi laluan
kepada Mahiaddin yang telah terbukti gagal untuk kembali menguasai Putrajaya
sekali lagi?
Lainlah jika Mahiaddin yang sedia memberi sokongan bagi pihak PN
dan Bersatu kepada Anwar jadi Perdana Menteri?
Apa pun, sebelum Mahiaddin terus mahu bermimpi dan
mengghairahkan dirinya untuk cuba kembali sebagai Perdana Menteri, ada baiknya
beliau hentikan saja kerja sia-sia itu.
Terlalu sukar dan mustahil usahanya itu akan beroleh kejayaan.
Tidak ada sesiapa yang sedia memberi sokongan kepada pemimpin
yang telah terbukti gagal untuk kembali dan memungkinkan kegagalan berulang
serta menyusahkan rakyat sekali lagi.
Sama seperti Najib Razak yang dianggap telah membawa banyak
kerosakan kepada negara dan ingin kembali semula sebagai Perdana Menteri,
beliau dan Mahiaddin adalah dua sosok yang tidak diperlukan lagi untuk masa
depan negara ini.
Selepas merasa jadi Perdana Menteri, kedua-dua mereka lebih
wajar bersara dan memberi peluang kepada pemimpin lain yang lebih muda daripada
parti masing-masing untuk meneroka pendakian kuasa yang seterusnya.
Rakyat pun nak lihat juga pemimpin lain pula jadi Perdana
Menteri, bukan asyik-asyik mereka saja. – ShahbudinHusin 31/05/2022.