BAHAGIAN 3
3. Kemenangan Rafizi dan
calon-calon relatif berusia dibawah 50 tahun menunjukkan anggota
parti itu memberi petunjuk bahawa ahli mahukan perubahan dalam parti berkenaan.
Mereka mahu darah baru dalam parti. Tenaga lama yang sudah lebih dua dekad
berjuang untuk melakukan reformasi dan mengangkat Anwar sebagai PM, mungkin
sudah tidak sesuai dan berkeupayaan lagi. Perubahan ini dikira perlu berubah
segera juga kerana mengambil kira kehadiran pengundi muda 18 tahun yang mana
kebanyakan mereka tidak lagi bernostalgia dan hafal dengan irama dan dendangan
lagu lama dimainkan parti itu.
4. Yang penting, apa yang
tertunjuk dan digambarkan dalam pembentukan pemimpin Keadilan untuk tahun 2022
- 2025 itu adalah anggota dan ahli Keadilan mahu meletakkan parti itu di atas
landasan asalnya sebagai parti marhean. Mereka mahukan api reformasi terus
ditiupkan dan tidak mudah malap dan tergoda dengan tawaran dan kedudukan.
Mereka tetap mahu menjadikan Keadilan sebagai parti rakyat yang insaf dan sedar
akan denyut nadi rakyat.
Peluang menjadi kerajaan
22 bulan mungkin dilihat sudah melencung sedikit parti berkenaan dari
landasannya, juteru mereka drastik melakukan perubahan. Inilah barang kali ada
yang menyifatkan Keadilan ketika sepanjang tempoh itu tidak begitu mesra rakyat
dan pemimpinannya lebih kepada berlagak dan berbulan madu dengan kemenangan.
Peluang menjadi kerajaan tidak diambil mendekati rakyat tetapi lebih menunjuk
lagak kepada rakyat.
Tribulasi politik
dihadapi Keadilan dalam kerajaan PH, dan sikap yang ditunjuk presiden yang
terus menghitung dan mencari angka untuk jadi PM juga, menyebabkan ahli kecewa
dan menuntut perubahan agar parti sedar, Kegagalan mengenapkan angka secara
perundingan menyebabkan ahli naik muak. Jadi apabila ada seseorang
membangkitkan hal itu dan menawarkan satu menu baru, maka menu lama itu
dilupakan dan sang pembangkit itu tentulah dipuja.
Apa yang mereka
istilahkan politik berunding, ia adalah bukan politik gentlemen. Perundingan
sangat tidak begitu digemari oleh generasi muda yang berjiwa agresif dan
memberontak. Ini hakikat yang berlaku namun tidak disedari sesetengah pemimpin
menyebabkan akhirnya mereka terpaksa disanggah. Kekalahan Saifuddin dan
beberapa rakan sebaya dan sefiil dengannya adalah disebabkan fenomena ini.
Seemangnya anak muda dan
generasi muda berjiwa mereka memberontak mahukan politik gentleman lawan
secara bersendiri tanpa meminjam dan berlindung serta menumpang kasih kepada
mana-mana pihak untuk berkuasa. Slogan atau tagline lawan
tetap lawan akan dipatuhi selamanya tanpa mengira musim dalam
pengertian dan tindakan yang diambilnya.
5. Konotasi lain yang
dapat dilihat daripada proses dan kesan pemilihan itu, dan ini penting, bahawa
wujud sikap dalam Keadilan, mereka tidak lagi meletak dan menjadikan Anwar
Ibrahim bapa reformasi itu sebagai jamur yang terus bernyala dan
dinyalakan untuk mecahayakan Keadilan. Walaupun kem Saifuddin Nasution menjaja
kesetiaan kepada pemimpin sebagai modal kempen, tetapi ia tidak menjadi tarikan
buat generasi baru dalam Keadilan. Kerana itu mereka tetap juga mengangkat
pemimpin yang digambarkan sebagai suka mengambil pendekatan perang.
Bagi generasi muda mereka
mengira sudah perlu diadakan pengganti Anwar yang akan menjadi jamur dan obor
baharu yang lebih bersemangat dan kompeten untuk masa setahun dua lagi.
Lantaran itu dijangka sekiranya Keadilan gagal meletakkan Anwar sebagai PM
selepas Piraum ke-15 nanti, ketika itu Rafizi akan diberi laluan dan mengambil
alih untuk memimpin Keadilan sepenuhnya.
Bagaimana pun, walaupun
ketara semangat dan generasi baharu untuk diberikan peluang memimpin Keadilan
dan roh reformasi, tokoh-tokoh lama lama yang banyak berjasa dan orang yang
menyuburkan parti itu sehingga seperti hari ini, jangan dilupakan begitu
sahaja. Anak muda dan generasi baru perlu ada sedikit diplomasi dan memahami
seni politik. Tanggungjawab mendidik mereka ini terletak sepenuhnya ditangan
Rafizi selaku timbalan presiden nanti. Orang tua atau pemimpin lama walaupun
sudah lemau ideanya tetapi kudratnya masih boleh juga boleh digunakan mungkin
untuk hambat ayam di lesong atau menepis lipas di celah tikar.
Melihat kepada trend pemilihan
yang berlaku kali ini dengan meletakkan Rafizi sebagai orang nombor dua, parti
itu sedang mempersiapkan Rafizi sebagai pemimpin Keadilan masa depan. Rafizi
pula perlu berhati-hati agar tidak terlebih syok. Memetik sepatah kata-katanya
sendiri ketika mengulas kemenangannya; "Saya faham bahawa seperti
mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu
sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan
aspirasi mereka."
Barisan kata-kata itu hendaklah difahami sebaik-baiknya oleh
Rafizi. Kalau beliau sendiri juga terlupa dengan apa yang diucapkan itu kerana
terlalu seronok dengan jawatan timbalan presiden, apa lagi kalau Anwar pula
memberi tugas dan tanggungjawab, sementara gagal pula merealisasikan apa
diiltizamkan beliau akhirnya terpaksa menelan kata-kata yang beliau
lafaskan itu. Jika beliau lalai, gagal melaksanakan apa diturutkan, beliau juga
nanti akan dicabut mandat itu. [wm.kl.7:39 pm 30/05/2022]