ARAHAN PULANG SEGERA DARIPADA CUTI MENUNJUKKAN MENTERI2 GOLONGAN ‘HAMPEH’

 

Setelah seminggu banjir melanda beberapa negeri dan tiba-tiba Perdana Menteri mengeluarkan arahan agar menteri-menteri membatalkan cuti masing-masing, sementara menteri yang sedang bercuti di luar negara diarah pulang segera, ini sebenarnya adalah episod paling memalukan dalam sejarah negara kita.

Tidak pernah arahan seperti ini dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang mana menunjukkan menteri-menteri sekarang seumpama budak sekolah nakal yang diperhambat untuk segera masuk ke kelas membuat kerja masing-masing.

Kata Ismail Sabri Yaakob, arahan itu dikeluarkan supaya menteri-menteri dapat berada bersama rakyat yang dalam kesusahan ketika ini.

Menurutnya, pembatalan cuti itu berkuat kuasa sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

“Saya sudah arahkan semua menteri yang rancang percutian masing-masing untuk batalkan percutian mereka, manakala yang sedang berada di luar negara agar balik segera.

“Ini supaya mereka boleh bersama rakyat yang sedang kesusahan ketika ini,” katanya dalam hantaran video di media sosialnya.

Arahan yang dilihat memalukan ini menunjukkan seolah-olah menteri di negara kita tidak tahu keutamaan mereka sehinggakan terpaksa Perdana Menteri mengeluarkan arahan berkenaan dengan tugas yang sepatutnya mereka utamakan.

Secara tidak langsung akhirnya kita sedar bahawa menteri-menteri sekarang adalah kelompok yang paling tidak berguna dalam masyarakat kita.

Aduhh…nak suruh jaga rakyat pun kena Perdana Menteri memberi arahan mengenainya.

Bak kata budak-budak muda sekarang, hampeh betul menteri-menteri yang ada sekarang ini.

Patutlah dalam kekalutan banjir yang melanda sejak seminggu lalu, hanya ada beberapa menteri saja yang terlihat kelibat mereka.

Rupa-rupanya ada di antara mereka sedang bercuti di luar negara dengan menggunakan kemudahan wang cukai rakyat, entah-entah untuk main salji bersama keluarga masing-masing.

Sepatutnya, sebagai menteri yang menikmati pelbagai kesenangan hidup atas sokongan serta undi rakyat, mereka tidak perlu diperingatkan tentang keutamaan dalam hidup mereka.

Kerja menteri ialah menjaga rakyat dan bila diketahui saja rakyat berada dalam kesusahan, mereka sendiri yang seharusnya tidak bercuti atau pulang segera ke tanahair jika sedang bercuti di luar negara.

Tidak harus sampai ke peringkat Perdana Menteri mengeluarkan arahan agar mereka pulang atau membatalkan cuti untuk berada bersama rakyat yang sedang dalam kesusahan.

Arahan Ismail Sabri setelah seminggu banjir melanda dan ketiadaan mereka di lapangan bersama rakyat sudah menjadi bualan yang merata di mana-mana, dengan sendirinya turut menunjukkan keberadaan mereka sebagai menteri bukan untuk menjaga kita semua.

Mereka hanya mengutamakan diri mereka saja, tidak kira apa sekali pun jalur perjuangan yang didendangkan kepada rakyat.

Kerajaan dan menteri-menteri yang ada sekarang, dengan ini, tidak harus dan tidak layak lagi diberi peluang terus berulit dengan kuasa. – ShahbudinHusin 24/12/2021.