Banjir yang baharu surut di Selangor dan Pahang bukanlah sesuatu
yang biasa terjadi sebelum ini tetapi berkait rapat dengan perubahan iklim atau
climate change yang melanda dunia.
Bagi Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, berdasarkan
perkembangan baharu itu, Kerajaan seharusnya memikirkan semula mengenai agenda
alam sekitar dan peraturan peraturan baharu pembangunan di negara ini.
"Banjir besar telah pun melanda Semenanjung Malaysia minggu
lepas. Bukan sahaja tempat “biasa” seperti Kuantan, Temerloh dan Raub yang
terjejas, kita melihatkan kejadian banjir turut berlaku di tempat yang jarang
berlaku seperti Taman Sri Muda, Shah Alam, Karak dan sebahagian Bentong.
"Ini bererti apa yang dianggap sebagai luar biasa telah pun
menjadi satu kebiasaan. Apa yang dianggap mustahil berlaku telah berlaku, dan
apa yang jarang akan menjadi semakin kerap.
"Apabila dikaitkan dengan banjir besar yang berlaku di
Jerman, Amerika Syarikat, Sudan Selatan dan Congo-Brazzaville tahun ini, kita
boleh menyimpulkan bahawa isu perubahan iklam bukan lagi sesuatu yang jauh
daripada Malaysia, tetapi sesuatu yang mengejutkan kita pada lewat malam,
bahkan telahpun meragut puluhan nyawa warganegara.
"Persoalannya, adakah kerajaan akan terus menunggu banjir
berlaku setiap tahun, ataupun bertindak?" tanya Chean Chung dalam
kenyataan hari ini.
Lee memberi bantuan banjir kepada mangsa di
Pekan Sungai Lembing, Kuantan.
ADUN Semambu, Pahang itu jelas bimbang sekiranya Kerajaan masih
tidak faham mengenai cilamate change dan puas hati dengan lawatan
Menteri-menteri dan penyerahan pampasan yang tidak seberapa untuk mangsa.
Katanya, jika Kerajaan tidak berada dalam minda penafian maka
beliau mencadangkan beberapa tindakan wajar untuk diambil bagi mengelakkan
bencana dahsyat itu daripada berulang pada masa hadapan.
"Kerajaan dalam hal ini hendaklah menilai semula dasar
pembalakan dan pembangunan yang terlalu padat.
"Penggondolan bukit dan pemusnahan hutan akan mengurangkan
daya takungan air semulajadi, dan seterusnya mengakibatkan air terus mengalir
serta berkumpul menjadi bah.
"Mengikut pengiraan saya, dengan menggunakan Laporan Kewangan
Pahang 2020, saya dapati sebanyak 26% hasil Pahang datangnya daripada kegiatan
pembalakan dan perlombongan. Peratusan ini harus dikurangkan dan digantikan
dengan hasil yang lebih mapan," katanya yang juga mencadangkan Kerajaan
menggubal dasar perubahan iklim dan pengurangan pengeluaran karbon.
Menurut Chean Chung, pengeluaran karbon berkait rapat dengan suhu
dunia dan menjadikan iklim bumi semakin tidak stabil lalu kesannya dirasai
dengan bencana banjir kilat, musim kemarau yang panjang atau taufan yang tidak
menentu. Malaysia, katanya, wajar menyahut cabaran sedunia dengan menerajui
agenda perubahan iklim dan sasaran pengurangan pengeluaran karbon.
Selain itu, beliau juga mencadangkan pelan penyelamatan mangsa
banjir dirombak semula.
"Operasi menyelamat yang kelam-kabut dan tidak diselaraskan
wajar dijadikan satu ikhtibar kepada kerajaan untuk merombak semula institusi
dalam peranan penebatan, pencegahan, penyelamatan, bantuan dan pembinaan
semula.
"Kerajaan wajib mengambil trajedi ini sebagai satu pengajaran
untuk menambahbaik kelemahan ketara yang sedia ada," katanya.
Tambahnya, pembatalan cuti menteri dan kakitangan awam serta gimik
turun padang tidak akan dapat menyelamatkan harta dan nyawa rakyat.
Hal yang lebih penting, tegas Chean Chung adalah pengakuan atas
kelemahan dasar pembangunan sekarang, memandang serius tentang agenda perubahan
iklim dan bertindak ke atasnya