5G: Bagaimana projek RM20 bilion, menteri tidak dapat pertahan rasionalnya?

 


Projek perbekalan perkhidmatan 5G yang diberikan kepada syarikat Digital Nasional Berhad (DNB) dengan kos menghampiri RM20 bilion amat kabur apabila pihak kerajaan sendiri tidak dapat mempertahankan rasionalnya.


Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek perbekalan spektrum 5G itu berkemungkina besar mengulangi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sama ada dari segi skala, modal dan juga barisan syarikat kroni yang terlibat.


"(DNB) cadangan kerajaan semasa Tan Sri Muhyiddin lagi untuk tubuhkan, perkenalkan sitem 5G, bunyinya sebagaimana kita tahu amat baik dan lunak. Tetapi kosnya mencecah, RM15 - RM 18 bilion.


"Kita tak tahu apa, kita dah kemukakan hujah umpamanya mengapa perlu satu badan khas, orang tengah untuk sampai ke Microsoft umpamanya yang boleh ditembusi secara langsung.


"Keduanya kos, ketiga siapa yang dipilih, syairkat mana, keluarga siapa, kroni siapa? Selagi tidak telus ia dibimbangani akan jadi satu lagi 1MDB.


"Kita baru sahaja bahas 1MDB ini, belum pun selesai hutang RM30 bilion, sekarang 5G pula," katanya dalam sidang media ketika menerima memorandum bantahan projek 5G di luar bangunan Parlimen, pagi tadi.


Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, Dewan Rakyat seharusnya menyediakan jadual khas untuk membahaskan secara panjang lebar mengenai projek 5G berkenaan.


Bagaimanapun, dalam perbahasan terhad sebelum ini Anwar kecewa kerana banyak persoalan tidak dijawab oleh menteri yang berkenaan.


"Menteri Komunikasi jawab sebahagiannya dia tak tahu, Muhyiddin jawab ini dah dibentangkan, tetapi tak ada maklumat teliti. Bagaimana projek RM20 bilion kita tak tahu dan tidak dapat pertahankan dari segi rasionalnya?" tanya Anwar


Selain itu, projek 5G tersebut katanya, hanya mengutamakan akses bagi orang di bandar dan bukannya luar bandar. Sebagaimana 4G pun masih tidak dinikmati oleh masyarakat luar bandar dan lagi di pendalaman.


"Jadi orang Melayu di kampung, di pedalaman Sabah Sarawak nak tunggu sampai bila, sudahlah 4G pun tak dapat.


"Sekarang dasar semuanya memihak kepada golongan kaya. Kuota pun untuk orang atasan, tidak orang miskin. B40, bukan miskin bandar.


"Rakyat mesti bangkit. Saya fikir tidak boleh kita biar elit kerajaan tentukan semua perkara," katanya lagi.