Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan
Sharif
Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)
Melaka pada 20 November 2021 lalu dan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK)
seperti Tanjung Piai dan Cameron Highlands semasa pemerintahan Kerajaan PH
merupakan penampakan yang jelas bahawa jenama PH merupakan jenama yang ditolak
oleh sebahagian besar rakyat Malaysia ketika ini.
Walaupun kesemua parti-parti yang bergabung dalam PH mempunyai
aspirasi dan gerak kerja yang jelas dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia
melalui dokongan urus tadbir negara yang baik, pembenterasan rasuah,
pengangkatan ekonomi dan taraf hidup rakyat marhean, menolak elitis politik
yang rakus haloba serta mendukung insititusi raja-raja Melayu dan jaminan
mengekalkan hak istimewa orang Melayu, namum itu semua gagal dan gagal
berkali-kali menambat hati para pengundi di Malaysia pasca Pilihan Raya Umum
(PRU) 14.
Era kerajaan PH penuh
kekeliruan?
Realitinya, para pengundi masih mengingati pemerintahan Kerajaan
PH sebagai zaman yang peralihan yang penuh kekeliruan dan dalam beberapa
keadaan mengecewakan. Jenama PH telah terkoyak teruk, reput dan berbau sangat
busuk akibat perbuatan seorang bekas Perdana Menteri (PM) keempat yang diberi
peluang kali kedua selepas PRU14. Lebih malang, mantan PM ketujuh Malaysia
gagal menunaikan janji menyerahkan kepimpinan kepada penerusnya sebagaimana
yang telah dimaterai dalam perjanjian PH sebelum PRU14.
Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif
Ketika era pemerintahan Kerajaan PH di bawah Tun Dr Mahathir
Mohammad (Tun M) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), banyak asas
perjuangan asal reformasi telah dikesampingkan oleh Tun M. Perasaan marah,
kecewa dan geram para penyokong serta rakyat marhean yang mendokong reformasi
jelas terpancar apabila Tun M menyatakan bahawa “manifesto bukanlah kitab
suci”, suatu tikaman yang menusuk sanubari semua reformis dan pengundi PH.
Luka tikaman itu masih lagi berdarah hingga ke hari ini dan sukar
dihilangkan, malah setiap kali pilihan raya PH dianggap gabungan parti yang
“gagal melaksanakan janji pilihan raya” walaupun telah banyak penambahbaikan
terhadap agensi dan program kerajaan yang telah dibuat. Tikaman ini bukanlah
tikaman sebarangan, ia suatu sabotaj terhadap amanah dan kepercayaan pengundi
yang memilih PH.
KEADILAN sinonim perjuangan
rakyat
PH memasuki PRU14 di bawah logo atau bendera keramat KEADILAN yang
begitu sinonim dengan perjuangan membela nasib rakyat marhean dan begitu
lantang menolak elitis politik yang kaya-raya melalui rompakan dan penyamunan
dana negara ketika Umno-BN berkuasa.
Bendera atau logo KEADILAN bukan sahaja langsung boleh
dihubungkaitkan secara imej difikiran atau imaginasi dalam minda pengundi
sebagai sebuah organisasi yang istiqamah membela dan memperjuangkan nasib
rakyat, sejak 23 tahun lalu, tetapi telah dikenali hampir sebahagian besar
rakyat Malaysia sebagai “mata lebam Anwar” yang membangkit perasaan simpati
kepada perjuangan Anwar Ibrahim dan marah terhadap kezaliman pemerintah
Umno-BN.
Apa yang jelas frasa “Pakatan Harapan” telah membawa banyak
asosiasi buruk terhadap politik reformasi dan ia perlu diganti dengan suatu
ungkapan atau frasa lain atau nama lain yang lebih segar, kredibel dan tepat.
Dalam hal ini saya mencadangkan agar Pakatan Harapan ditukar kepada “Pakatan
Reformasi” kerana saya yakin intipati perjuangan setiap parti gabungan dalam PH
sama ada KEADILAN, Amanah dan DAP adalah membuat perubahan atau reformasi
terhadap nilai politik dan sistem pemerintahan negara.
Logo merah PH yang lebih hampir kepada logo BERSATU tidak perlu
dijulang dan digunakan lagi. Ia sebuah logo yang penuh kekecewaan. Soal logo
baru Pakatan Reformasi tidak perlu dijadikan isu besar kerana asas perjuangan
reformasi melalui logo dan bendera Parti Keadilan Rakyat itu sendiri telah lama
terpahat kukuh dihati dan sanubari sebahagian besar rakyat Malaysia.
Anwar terus sebagai jeneral
perang
Bercakap soal cadangan pertukaran nama dan logo PH kepada Pakatan
Reformasi, saya tidak bermaksud bercakap tentang penjenamaan semula parti
secara teknikal dan abstrak. Memadai jika PRU15 kali ini, Datuk Seri Anwar
Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai jeneral perang Pakatan Reformasi yang
tiada kena mengena dengan kerosakan dan imej buruk pemerintahan PH di bawah Tun
M yang dilihat cuba menggagalkan agenda reformasi itu sendiri ketika PH
memerintah 22 bulan sejak PRU14.
Pakatan Reformasi adalah gabungan parti-parti dengan cita-cita
tulen untuk melihat negara ini kembali gemilang dan makmur di bawah panji-panji
kemuliaan insan yang bebas dari kezaliman dan ketakutan terhadap pemerintahan
yang korup dan zalim. Pakatan Reformasi juga adalah suatu cita-cita yang
melebihi sekadar harapan yang tidak tertunai yang dinafikan oleh seorang bekas
perdana menteri zalim yang pernah “menumbuk” lebam mata seorang timbalannya.
Sesungguhnya nama “Pakatan Reformasi” merupakan jenama yang lebih
tepat, kredibel dan berkarismatik sesuai dengan kepimpinan dan perjuangan 23
tahun Anwar Ibrahim dan semua rakyat Malaysia yang meyakini idea, impian serta
agenda reformasi. Setidak-tidaknya cadangan ini, saya fikir, tidaklah secelupar
dan seangkuh cadangan ADUN Bilut!
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Majlis
Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu dan Ahli Majlis Pengerusi PH Terengganu.