PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya bercakap mengenai isu-isu yang menjejaskan negara berbanding memberi ceramah kepada rakyat mengenai penggunaan bahasa Melayu di tempat kerja, kata seorang bekas menteri.
“Bahasa kebangsaan kita adalah penting, tetapi ini adalah isu lama dan kini adalah zaman moden dengan penggunaan bahasa Inggeris adalah kelaziman sebagai bahasa antarabangsa,” kata Zaid Ibrahim.
“Beliau tidak sepatutnya berceramah atau menegur sesiapa. Beliau sepatutnya menggunakan setiap peluang yang ada untuk bercakap mengenai isu-isu besar seperti buruh, kos sara hidup, ekonomi dan krisis kesihatan,” katanya kepada FMT.
Zaid, bekas Menteri Undang-undang, mengulas mengenai laporan bahawa Ismail menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta kerana mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu pada acara, mesyuarat dan persidangan serta produk mereka.
Ismail memberitahu agensi dan firma agar menggunakan bahasa Melayu secara meluas dalam program anjuran mereka, lapor Bernama.
Zaid berkata, rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu tetapi juga bahasa lain apabila perlu dan Ismail tidak perlu bersikap “sentimental” terhadap bahasa itu.
“Cukuplah semua ini. Rakyat sedang menderita. Tak perlu alihkan perhatian semua orang.
“Beritahu kami rancangan atau pendirian anda mengenai isu-isu penting. Itu yang rakyat dan pasaran mahu dengar,” katanya.