MOU KERJASAMA PN – PH BUKAN SOKONGAN MUTLAK KEPADA PM ISMAIL
Memorandum kerjasama (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu bukanlah memberi sokongan mutlak kepada pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.
Sebaliknya kata kenyataan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, memorandum itu lebih kepada sokongan bersyarat, kerana itu dokumen berkenaan dikenali sebagai MoU bukannya perjanjian.
“Sejak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani memorandum persefahaman bersama kerajaan yang dipimpin oleh PM Ismail Sabri perkara ini mudah disalah tafsir sebagai kepercayaan mutlak.
“Hakikatnya ini bukan perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA) kerana isu fundamental yang berbeza dan kerjasama ini lebih berbentuk kepada persefahaman demi kebajikan rakyat sebagaimana disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, MPN Perak berpendapat MoU itu tidak jauh bezanya dengan persefahaman yang berlaku di Perak antara kerajaan dan pembangkang demi kesejahteraan rakyat dan dikembalikan peruntukan kepada ADUN di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.
“Melihat permasalahan rakyat di negeri Perak sendiri yang wajar diselesaikan melalui satu kerjasama di antara pembangkang dan kerajaan, kami melihat aspirasi MoU ini terjemahan sebagaimana semua ADUN termasuk pembangkang telah menerima peruntukan secara saksama.
“Kematangan politik amat penting ketika negara menghadapi kemelut pandemik bagi menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan,” katanya lagi.