IMBAS . Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama
ahli-ahli parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum bergerak
menuju ke Jalan Parlimen berikutan tidak dibenarkan masuk ke dalam Parlimen,
Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 OGOS 2021.
KUALA LUMPUR – Wakil rakyat pembangkang mahu sidang khas
Parlimen mesti diadakan selewat-lewatnya 9 Ogos ini berasaskan Peraturan
Mesyuarat 11(3) untuk membentang, membahas dan memulakan usul undi percaya
terhadap Perdana Menteri.
“Kami tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri
ini ditangguhkan sehingga bulan September.
“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah
kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen
untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen,” kata mereka
dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan bersama itu melibatkan Ketua Pembangkang yang juga
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad
Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Ia juga disertai Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal, Presiden parti pejuang tanah Air, Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu, Datuk Seri Wilfred
Madisu Tangau, Presiden parti Sarawak Bersatu, baru Bian dan Pengasa parti
MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam kenyataan itu, mereka berpendapat,
isu usul percaya itu wajar dipercepatkan memandangkan masalah berkaitan
pandemik semakin teruk di negara ini.
“Oleh demikian, kami berpendirian bahawa usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekaligus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri,” katanya.- MG