Pembangkang mahu Parlimen bersidang segera, bentang usul undi percaya PM

 MGF01082021_PARLIMENTUTUP03

IMBAS . Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ahli-ahli parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum bergerak menuju ke Jalan Parlimen berikutan tidak dibenarkan masuk ke dalam Parlimen, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat pembangkang mahu sidang khas Parlimen mesti diadakan selewat-lewatnya 9 Ogos ini berasaskan Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk membentang, membahas dan memulakan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

“Kami tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri ini ditangguhkan sehingga bulan September.

“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan bersama itu melibatkan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ia juga disertai Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden parti pejuang tanah Air, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madisu Tangau, Presiden parti Sarawak Bersatu, baru Bian dan Pengasa parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam kenyataan itu, mereka berpendapat, isu usul percaya itu wajar dipercepatkan memandangkan masalah berkaitan pandemik semakin teruk di negara ini.

“Oleh demikian, kami berpendirian bahawa usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekaligus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri,” katanya.- MG