Bentang PPN di Dewan Rakyat, biar wakil rakyat putuskan, kata Ahli Parlimen PKR

 


Shamsul Iskandar Mohd Akin; Fahmi Fadzil dan Wong Chen menghadiri sesi taklimat Pelan Pemulihan Negara bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

PETALING JAYA: Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu dibentang, dibahas serta diputuskan oleh semua wakil rakyat di Parlimen yang akan bersidang semula bermula 26 Julai ini, kata kumpulan wakil rakyat PKR.

Mereka juga mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diwujudkan bertujuan memantau dan menyemak imbang pelaksanaan pelan terbabit.

Perkara itu dibangkitkan semasa pertemuan pemimpin PKR yang diwakili Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, ketika menghadiri sesi taklimat PPN bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Pada masa sama, kami berpeluang menyampaikan pandangan Ahli Parlimen PKR berkenaan pelan berkenaan, iaitu pelan itu perlu berteraskan beberapa prinsip.

“Antaranya dasar dan langkah kerajaan mesti berasaskan sains perubatan dan data. Kerajaan mesti adil kepada semua pihak dan wajib telus dan bertanggungjawab dalam perbelanjaan sewaktu pandemik ini,” kata tiga Ahli Parlimen PKR itu menerusi kenyataan bersama.

Dalam pertemuan itu juga mereka turut membentangkan beberapa perkara, termasuk perlunya meningkatkan bantuan kepada hospital dan sistem kesihatan awam sedia ada.

“Ia termasuk menggembleng tenaga dan kerjasama semua pihak dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), menerbitkan data yang lebih terperinci, menyelamatkan pekerja dan pekerjaan, menambah bantuan kepada rakyat dengan segera dan memastikan Parlimen memainkan peranan utama dalam usaha memulihkan negara,” katanya.

Parlimen akan mula bersidang pada 26 Julai ini selama lima hari.

No comments: