BILA NASI DAH JADI BUBUR, BILA TUA MAKIN NYANYUK

 

Jika tahu apa akan berlaku sekarang, saya lebih rela kekal, kata Dr M






Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Malaysia kini ditadbir kerajaan kleptokrasi.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, jika tahu apa yang akan berlaku dalam pentadbiran di Putrajaya sekarang, beliau lebih rela kekal mentadbir kerajaan pusat selepas berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Berucap di pentas maya sempena Persidangan Kepimpinan Asia 2021, beliau meluahkan kekecewaan terhadap prestasi kepimpinan sedia ada dan mendakwa kerajaan semasa menyalahgunakan kuasa untuk melakukan perkara tidak betul.

“Tetapi sudah tentu kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya yang menyifatkan negara kini ditadbir kerajaan kleptokrasi.

Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk kepimpinan negara selepas Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari 2020 dan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan Muhyiddin mentadbir negara, Mahathir mendakwa presiden Bersatu itu adalah perdana menteri yang sangat lemah kerana gagal mengurus pandemik Covid-19 dengan baik.

Hari ini Mahathir berkata, selepas berjaya menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia ketika mentadbir negara selama 22 tahun, beliau berpandangan mana-mana pemimpin yang menggantikannya harus meletakkan kepentingan negara berbanding agenda peribadi.

“Namun apa yang berlaku sebaliknya,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu tanpa menamakan mana-mana individu.

Mengulas situasi Covid-19 di seluruh dunia, Mahathir berkata, negara kaya dan berkemampuan harus menunjukkan empati dengan menghulurkan bantuan kepada negara miskin dalam proses pemulihan.

Katanya, ketika dunia berdepan pandemik yang tidak pasti pengakhirannya, negara kuasa besar seharusnya menghentikan pencerobohan ketenteraan terhadap negara serantaunya.

“Harus diingat, virus ini tidak membezakan antara penyerang dan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, dunia akan benar-benar pulih selepas negara kaya dan miskin mampu bangkit semula.

“Jika separuh kekal ‘sakit’, tiada jaminan ia tidak akan mengheret separuh lagi ke dalam kehancuran yang berpanjangan.”

Bagaimanapun katanya, kejayaan program pemulihan itu bergantung pada kualiti kepimpinan setiap negara.

“Sekiranya mereka mempunyai integriti, kejujuran, keikhlasan dan benar-benar prihatin terhadap nasib bangsanya, separuh pertempuran akan dimenangi.”