Pakej sumbangan: Rakyat tak sambut, Pas beria puji
LEGA… Puas… Pengumuman rancangan bantuan Pemulih yang diumum Perdana Menteri (PM) semalam. Ia ternyata bantuan tanda prihatin kerajaan kepada keresahan rakyat. COVID-19 bukan kesalahan kerajaan namun kerajaan prihatin sentiasa mencari jalan membantu rakyat.
Tidak salah rakyat ingin bergantung dengan kerajaan kerana kerajaan adalah ‘abahku’. Bukan Bossku atau tauke-ku. Tiada lagi larangan ‘rakyat jangan bergantung dengan kerajaan’. Bantuan yang benar-benar membela rakyat, bukan hanya RM30 seperti satu sindiran kepada rakyat yang memerlukan.
Apakah pakej yang diumum PM akan memuaskan hati semua rakyat? Pastinya tidak. Malah akan pasti wujud ruang kritikan. Andai tiada, pasti direka dan dicipta. Itu sudah kerja pembangkang yang pastinya bertambah kecewa dengan apa yang diumumkan kerajaan. Tertutup ruang hasutan meniup kebencian.
Bagi saya tiada apa lagi yang boleh dikeluh oleh rakyat. Cuma rakyat mengharap dapat merentas daerah dan negeri seperti dulu. Saya juga berharap begitu tetapi saya tahu kerajaan sedang berusaha ke arah itu. Ibarat menyeberangi sungai, kita rasa mampu, namun kerajaan sedang membina jambatan agar kita tidak basah. Tidak hanyut andai tiba-tiba kepala air datang. Bersabarlah, seperti bersabar menanti pakej bantuan yang diumumkan semalam.
Ada juga yang marah kononnya angka COVID-19 masih tinggi kerana kilang dibuka. Saya tak pasti itu data pasti atau telahan yang dibuat kerana tak puas hati. Saya juga mahu kilang ditutup. Tetapi saya terjumpa seorang rakan yang mengeluh andai kilang ditutup.
Bayangkan berapa ramai pekerja kilang yang bergaji seadanya Untuk menyuap nasi dan telur ke dalam mulut anak dan isteri. Bagaimana lagi mereka ingin menyuap nasi buat anak dan isteri yang menanti. Saya akur. Ia mengusik hati keras saya untuk simpati. Akhirnya saya faham, kilang dibuka bukan hanya untuk golongan kaya tetapi juga mereka yang mengais makan anak isteri dari awal pagi.
Dalam hidup ini kita tidak mungkin mampu mencari kesempurnaan. Kita hanya mampu memilih dan berusaha untuk sesuatu yang lebih baik. Bagi saya dan ramai dari kita yakin kerajaan yang ada lebih baik dari sebelum sebelumnya. Kita dalam ujian, menuntut kebersamaan. Bukan saling menolak untuk mengambil kesempatan. Di saat kita impikan mengikat kain sampin menghias badan, alangkah baiknya kita beri kepada rakan dan jiran yang langsung tiada pakaian.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak