Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah di dakwa berkemungkinan mempunyai agenda peribadi apabila melabel Pas sebagai ‘pelacur’.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tidak mustahil Tengku Razaleigh atau Ku Li mahu membina naratif baharu untuk meraih sokongan ahli UMNO menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Menurutnya, kemungkinan juga ia ada kaitan dengan hasrat Tengku Razaleigh untuk bertanding sebagai Presiden UMNO.
“Saya rasa Ku Li hendak bertanding Presiden UMNO. Dia mahu ‘ambil angin’ ahli-ahli UMNO dengan bina satu naratif baharu dalam kalangan ahli parti itu yang hendak sokong dia sebagai Presiden,” katanya selepas melancarkan filem ‘The Puppet Master Trilogy’ di Dewan Seri Mentaloon Isnin malam.
Menteri Besar Kedah itu berkata, bagaimanapun Pas menyifatkan pandangan veteran UMNO itu bukan mewakili parti UMNO secara keseluruhannya.
“Astagfirullahalazim, orang tua-tua yang umur 80-an tak patut cakap bahasa macam itu. Pas tidak kenal ‘pelacur’. Yang kenal adalah yang biasa langgan pelacur,” katanya.
Sebelum ini, Tengku Razaleigh dilaporkan melabel Pas sebagai ‘pelacur’ dan menggesa UMNO untuk menewaskan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Tengku Razaleigh dalam temu bual bersama sebuah portal berita menggelar Pas sebagai ‘pelacur’ kerana sering kali beralih sokongan antara DAP dan Semangat 46, iaitu parti serpihan UMNO yang diterajuinya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, selaku pemimpin veteran, beliau sepatutnya menasihatkan UMNO bagaimana untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) selain menyuburkan persaudaraan sesama parti.
“Saya rasa pemimpin politik yang meniupkan kebencian dan permusuhan serta beri gelaran negatif kepada parti lain tidak sepatutnya berlaku, patut jadi sejarah lah,” katanya.
Menurutnya, tindakan Tengku Razaleigh itu hanya akan mencetuskan permusuhan dan menggalakkan kebencian.
“Kalau dia mencetuskan perkara yang boleh galakkan permusuhan dan kebencian, saya rasa dia tak layak jadi penasihat,” katanya.