Moratorium yang dijanjikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai pakej pertukaran sokongan Ahli-ahli Parlimen BN ke atas Belanjawan 2021 nampaknya tinggal sebagai harapan palsu.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keluhan yang diluahkan rakyat sehingga kini menunjukkan moratorium pinjaman sewa beli itu hanya menambahkan kos hutang, bukan melegakan kewangan rakyat.
“Saya mendapati moratorium pinjaman sewa beli kenderaan datang bersama kos yang lebih besar dan menambah beban rakyat. Pelbagai syarat yang dikenakan juga terus merumitkan keadaan, dan ini tidak membantu rakyat di bawah yang saat ini masih terhimpit dengan dampak wabak Covid-19.
“Sebagai kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah, adalah tidak wajar perkara sebegini dipandang enteng dan diambil mudah. Saya menggesa kerajaan dan Menteri Kewangan untuk membetulkan perkara ini sesegera mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Presiden KEADILAN itu juga membangkitkan soal pampasan yang terpaksa ditanggung akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lalu hanya menggantung projek berkenaan untuk diteruskan apabila kewangan negara mengzinkan. Dengan pembatalan maka Malaysia akan terpaksa membayar pampasan yang tinggi kepada Singapura.
“Kerajaan juga harus menjelaskan dengan lebih terperinci jumlah sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia dan para pembayar cukai akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura ini
“Justeru, segala pernyataan yang dibuat Menteri Kewangan semasa penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini (selepas pembatalan projek) sukar dipercayai, terutamanya berhubung soal pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan juga projek mega HSR.
“Jika benar seperti yang dilaporkan, ini secara tidak langsung telah mendedahkan lagi kelemahan kerajaan PN dalam membuat sebarang keputusan besar buat negara dan rakyat,” katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar lagi, semua kelemahan menjolok mata kerajaan Perikatan Nasional tersebut telah memberi reputasi buruk kepada negara dan menghilangkan keyakinan pelabur antarabangsa untuk menanam modal di Malaysia.
“Ketidakstabilan dan goyahnya kerajaan hari ini memberi imej dan reputasi yang buruk kepada negara tatkala ia akan menanam ketidakyakinan kepada negara-negara luar untuk mengadakan rundingan atau mencapai sebarang persetujuan dengan Malaysia.
“Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak boleh digantung harap,” katanya.
Pembatalan projek HSR dijangka menyebabkan Malaysia terpaksa membayar sejumlah RM310 juta sebagai pampasan kepada Singapura yang telah memulakan beberapa bahagian daripada projek berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan PH telah membayar sebanyak RM45 juta sebagai pampasan kerana menangguhkan projek berkenaan akibat kekurangan dana.