Pembangkang di Parlimen perlu membentuk kabinet bayangan dan mengusulkan polisi alternatif


Kegagalan pembangkang untuk menolak Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2021 – yang sepatutnya menjadi undi tidak percaya de facto terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin – menunjukkan bahawa blok pembangkang tidak kukuh sekaligus kelemahan mereka di dalam strategi politik.

Pembangkang seharusnya menampilkan bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk memimpin negara dan merancakkan semula ekonomi, yang merosot ekoran pandemik. Mereka perlu menunjukkan bahawa ianya akan menjadi alternatif yang lebih baik daripada kerajaan Perikatan Nasional sekarang dalam memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia yang marhaen.

Ini boleh dilakukan dengan menampilkan kesatuan serta menubuhkan kabinet bayangan. Melalui kabinet bayangan, pembangkang boleh menunjukkan betapa berbezanya mereka secara ideologikal dari kerajaan sekarang berkenaan aspek polisi yang penting, misalannya berkaitan ekonomi, kebajikan, pendidikan, alam sekitar serta hubungan etnik.

Ini masanya untuk mereka melangkaui hal-hal berkenaan ‘kerajaan pintu belakang’. Pembangkang perlu meyakinkan rakyat bahawa ianya bersedia dan mampu untuk mentadbir negara dengan tujuan untuk memperbaiki kualiti hidup mereka. Berbanding hanya berkeras menyatakan bahawa mereka “mempunyai bilangan”, pembangkang perlu menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka mempunyai strategi dan polisi yang memikirkan rakyat dengan mengutamakan mereka berbanding percaturan politikal, kepentingan peribadi serta ketamakan pihak korporat.

Oleh ini, parti pembangkang di Parlimen perlu belajar dari Parti Sosialis Malaysia, di mana walaupun tidak mempunyai kerusi di Parlimen, mereka dapat memberikan analisis dan cadangan kritikal tentang isu-isu penting contohnya melalui “A National Programme to Handle the Covid-19-induced Recession” (July 2020) serta “Reducing Greenhouse Gases: A Green Alternative for Malaysia” (January 2020). Parti ini menunjukkan kesungguhan untuk membincangkan isu berkaitan nasional bersama masyarakat sivil, pembuat dasar serta pegawai kerajaan.

Demikian juga, Pembangkang di Parlimen perlu terlibat dengan pemegang taruh yang relevan dan menjelaskan kepada rakyat apa yang boleh dilakukan mereka untuk mengeluarkan negara dari kebrobokan yang ada sekarang, jika diberi peluang untuk memimpin semula negara.