BERSATU, PARTI TAK CUKUP KERUSI….


 Sebagai parti yang mengetuai kerajaan dan Presidennya, Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri, keadaan Bersatu pada ketika ini boleh dikira sangat malang.

Ini kerana Bersatu bukan saja tidak berada dalam kedudukan boleh menentukan jumlah kerusi yang munasabah untuk ditandingi dalam PRU mendatang, malah berapa kerusi yang bakal ditandinginya juga sangat bergantung kepada belas kasihan parti lain, terutamanya UMNO dan Pas.

Berbeza dengan UMNO, parti itu sehingga ini sudah pun mencapai kata sepakat dengan Pas untuk masing-masing mengekalkan 55 dan 18 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa minggu lalu berkata, berdasarkan persetujuan awal itu, UMNO tidak akan bertanding di kerusi di mana dipersetuju Pas akan bertanding dan begitu juga sebaliknya.

“Kita juga setuju bahawa 18 kerusi PAS tidak akan ditandingi UMNO dan kawasan yang kedua-dua parti gagal pertahankan, jika undi UMNO lebih, maka UMNO bertanding dan PAS tidak akan bertanding, begitu juga dengan PAS, jika undi mereka lebih, maka UMNO tidak akan bertanding.

“Perbincangan antara BN dan Perikatan Nasional atau PN pula akan menyusul kemudian,” katanya lagi.

Dalam erti kata lain, perbincangan dengan Bersatu hanya akan berlaku di peringkat kedua iaitu selepas selesai pembahagian kerusi antara UMNO dengan Pas.

Keadaan ini benar-benar menunjukkan UMNO mengotakan kata-katanya bahawa kerjasamanya dengan Bersatu dalam kerajaan PN hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan saia.

Selebihnya, hanya Pas rakan kerjasama UMNO.

Pembahagian kerusi ini memperlihatkan UMNO ingin kembali dominan dan Bersatu harus jadi “peminta sedekah” kepadanya.

Kalau sanggup terima kerusi lebihan UMNO itu, terimalah tapi kalau tidak, mungkin terpaksalah Bersatu memilih jalan sendiri.

Dalam perkembangan terbaru pula, Annuar berkata, kedudukan BN sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam kerajaan PN perlu dihormati ketika rundingan pengagihan kerusi diadakan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka dan bertanggungjawab terhadap sebarang rundingan berhubung isu agihan itu, selagi prinsip perjuangannya dihormati.

“Kita mahu parti-parti dalam PN hormat kedudukan kita sebagai sebuah parti yang bukan sahaja lama, tapi juga besar dan memberikan kita peranan yang bersesuaian dengan kedudukan kita,” tambahnya.

Mengambil kira semua keadaan ini, berapakah agaknya kerusi yang bakal diperolehi oleh Bersatu?

Daripada 55 kerusi yang dimenangi BN pada PRU14 lalu yang mana setakat ini UMNO dan Pas setuju ia diperuntukkan kepada BN, di dalamnya juga terdapat 16 kerusi yang sudah berpindah kepada Bersatu.

Mereka itu adalah Geng Hamzah Zainuddin dan kumpulan Ahli Parlimen daripada Sabah yang melompat menyertai Bersatu selepas PRU lalu.

Satu kerusi lagi iaitu Labuan, Ahli Parlimennya telah melompat menyertai Warisan.

Oleh kerana UMNO nampaknya bertegas mahu semua kerusi itu dikembalikan semula kepada BN dan ia pula disokong dan dipersetujui oleh Pas, di manakah sebenarnya pelompat-pelompat UMNO yang menyertai Bersatu itu mahu bertanding kelak?

Apakah UMNO sedia berkompromi jika dipujuk oleh Muhyiddin?

Bagaimana jika UMNO enggan bertolak ansur walau seinci pun daripada menyerahkan kerusi-kerusi tersebut?

Apakah akhirnya akan berlaku pertandingan tiga penjuru di 17 kerusi itu?

Selain mungkin hanya 13 kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU lalu akan dikekalkan kepada parti itu, apakah kerusi-kerusi lain yang akan diserahkan kepada Bersatu adalah terhad kepada kerusi-kerusi yang UMNO dan Pas kalah kepada PH saja?

Tetapi, dengan kerusi-kerusi tersebut saja yang bakal ditandingi Bersatu, berapakah jumlah yang boleh Bersatu menangi dan akhirnya dalam keadaan itu mampukah Muhyiddin mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri?

Dalam hubungan ini, apakah Pas sedia memainkan peranannya membantu Bersatu memperolehi banyak kerusi atau sediakah parti itu sendiri menyerahkan sebahagian kerusinya kepada Bersatu?

Selain 18 kerusi yang dimenanginya, sediakah Pas hanya bertanding sekitar 30 kerusi saja semata-mata untuk memberi laluan kepada Bersatu memperolehi lebih banyak kerusi?

Apa pun, realitinya berkongsi kerusi antara tiga parti Melayu – UMNO, Pas dan Bersatu- bukanlah sesuatu yang mudah, apalagi dalam kedudukan UMNO sedia memiliki banyak kerusi, sementara Bersatu pula, walau memegang banyak kuasa, namun hanya penumpang saja.

Bersatu – malang sungguh nasibmu dan UMNO, rakanmu sendiri, lebih ingin “membunuh” daripada membantumu. 

(Shahbudindotcom 21/12/2020)




No comments: