Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menolak untuk menyokong secara melulu Belanjawan 2021.
Katanya Ahli Parlimen Pembangkang tidak akan memberi cek kosong atau sokong membuta tuli meluluskan Belanjawan 2021.
Menurut Hassan, Kerajaan Perikatan Nasional perlu membuat beberapa pindaan kepada belanjawan sekiranya mahu Pembangkang menyokong secara sebulat suara.
Katanya, Pembangkang hanya bersetuju terhadap peruntukan gaji atau emolumen 1.5 juta penjawat awam yang tidak ada kompromi dan mesti diluluskan. Bayaran pencen persara, juga peruntukan kos operasi kerajaan yang wajib. Selain itu, kata Hassan, semua perlu diteliti dan sekiranya Pembangkang tidak berpuas hati Menteri Kewangan perlu melakukan pindaan ke atas belanjawan.
Mengenai titah Yang di-Pertuan Agong bahawa semua Ahli Parlimen perlu meluluskan belanjawan, Hassan berkata perkara itu belum ada duluan (precedent). Sebelum ini, katanya, terdapat keadaan yang lebih genting seperti rusuhan 13 Mei, konfrantasi Malaysia - Indonesia, darurat pemberontakan Komunis dan sebagainya namun belum pernah belanjawan diluluskan oleh kerajaan dan pembangkang secara sebulat suara.
Beliau menghormati kedua-dua institusi Raja Berperlembagaan dan Parlimen. Kedua-duanya mempunyai peranan dalam sistem demokrasi Malaysia. Maka Parlimen perlu diberi kebebasan dalam membuat pilihan membahaskan belanjawan.