JHO LOW DAKWA HANYA PINJAM WANG 1MDB…Al Jazeera buktikan Bosskurr memang kawaq...

 




Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang menjadi 'mastermind' dalam skandal 1MDB percaya dia tidak melakukan kesalahan dan hanya meminjam wang daripada 1MDB. Pengakuan Jho Low itu dibuat melalui rakaman perbualan telefon dengan bekas pegawai kerajaan di bawah pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang didedahkan melalui sebuah dokumentari disiarkan stesen penyiaran Al Jazeera. Dokumentari bertajuk 'Jho Low - Hunt for a Fugitive' yang berdurasi selama sejam itu dimulakan dengan panggilan telefon antara Jho Low dan kerajaan Malaysia antara Mei hingga November 2018.

Tegas Jho Low, dia hanya meminjam wang berbilion dolar berkenaan daripada 1MDB untuk dirinya. "Saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," katanya melalui satu rakaman perbualan telefon yang diperoleh secara eksklusif oleh Al Jazeera. Tambahnya, wang tersebut dibelanjakan antara lain untuk membeli hartanah mewah di seluruh dunia, karya seni, jet peribadi, kapal layar besar dan arak mahal.

Malah, Jho Low sedia memulangkan semula wang berkenaan, asalkan dia tidak didakwa di mahkamah. "Semua ini sebenarnya hanya pinjaman, secara langsung atau tidak langsung, tetapi, akhirnya, saya rasa, masanya telah tiba, kami mahu membantu mengembalikan semula aset ini. "Dan sebagai balasan atas kerjasama yang diberikan, kami mahu meneruskan kehidupan tanpa berdepan sebarang tuduhan," katanya. - DR|bk

Sementara itu,pendedahan dokumentari khas oleh Al-Jazeera berjudul Jho Low: Hunt For A Fugitive di mana Jho Low mendakwa mantan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak yang berkuasa ke atas kelulusan semua transaksi 1MDB adalah bukti terbaru berkaitan penyelewengan wang 1MDB melibatkan dana hampir RM20 bilion. Jho Low juga mendakwa bahawa hampir RM4 bilion (AS$1bilion) telah dimasukkan ke akaun peribadi Najib yang merupakan satu tuduhan berat. Oleh kerana Najib sering ‘flip flop’ tentang hubungan dengan Jho Low walaupun dia dituduh sebagai rakan sejenayah dalam skandal mega ini, maka Najib perlu mengheret Jho Low ke mahkamah jika ikhlas mahu membersihkan namanya daripada tuduhan ini.

2. Apatah lagi, Jho Low menuduh pentadbiran Najib tidak mahu mendedahkan dokumen ketika mana dia berunding bagi penyelesaian tuntutan mahkamah 1MDB dan DOJ Amerika Syarikat seolah-olah misteri kehilangan Jho Low ini mungkin dilindungi oleh seseorang yang berkuasa. Pihak berkuasa terutama Polis DiRaja Malaysia dan SPRM harus menyiasat pendedahan ini supaya skandal kleptokrasi terbesar dunia ini disiasat sehingga ke akar umbi memandangkan ia melibatkan integriti dan maruah negara.

3. Dakwaan Jho Low bahawa hampir RM 2 bilion (AS$500 juta) dibelanjakan untuk membeli barang kemas Rosmah Mansor juga amat mengejutkan. Pendedahan ini jika benar adalah satu pengkhianatan kepada rakyat dan negara kerana hutang 1MDB perlu dibayar oleh negara. Setakat ini, dianggarkan lebih RM14 bilion hutang 1MDB dibayar melalui kantung negara. Sudahlah kantung negara semakin tenat, rakyat kian menderita akibat tiada pembelaan kerajaan yang tuntas.

4. Wang sebegini besar seharusnya boleh digunakan membantu PKS memajukan perniagaan mereka dan membantu mereka yang hilang pekerjaan terutama ketika kita berhadapan pandemik Covid-19 ini. Pembangunan infrastuktur rakyat seperti pembinaan 4 buah hospital besar dan 60 buah sekolah boleh digunakan jika jumlah wang ini tidak dibelanjakan untuk kemewahan diri. Pengkhianatan seperti ini tidak boleh dilupakan rakyat Malaysia yang ikhlas menolak pentadbiran kleptokrasi dalam PRU yang lalu. 


- Faiz Fadzil