Kenyataan Yang di-Pertua Dewan
Rakyat, Azhar Azizan Harun yang menyatakan bahawa usul tidak percaya terhadap
Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri hanya boleh dilakukan menerusi
rundingan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tidak benar, kata
Maszlee Malik.
Ahli Parlimen Simpang Renggam
itu berkata masih ada cara lain untuk membolehkan usul tidak percaya dibahaskan
di Parlimen pada bulan depan.
Ini setelah beberapa ahli
parlimen mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dengan menghantar
usul tersebut kepada speaker.
Maszlee berkata, Muhyiddin
sudah menggunakan segala macam alasan untuk tidak membahaskan usul tidak
percaya tersebut seperti sidang Parlimen sebelum ini.
"Seperti biasa, perdana
menteri akan menggunakan senjata ampuhnya iaitu Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang
menyatakan bahawa urusan kerajaan (apa-apa urusan yang dikehendaki oleh
kerajaan) hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.
"Sebab itu sebarang usul
yang melibatkan ketidakpercayaan Dewan terhadap perdana menteri akan
diketepikan. Inilah puncanya selama ini usaha ahli-ahli parlimen yang
mengemukakan usul undi tidak percaya menemui jalan buntu.
"Dewan Rakyat akan
disibukkan dengan urusan kerajaan. Ini taktik politik dalam sistem demokrasi
berperlembagaan apatah lagi apabila perdana menteri tahu majoriti ahli parlimen
tidak menyokongnya di Dewan Rakyat.
"Namun dalam masa yang
sama, usul ini penting untuk memastikan keabsahan sokongan terhadap perdana
menteri dan sekaligus menentukan kestabilan politik negara," katanya.
Justeru, Maszlee telah
menghantar usul menggantung segala urusan kerajaan bagi membolehkan usul tidak
percaya dilakukan di Parlimen pada bulan depan.
"Yang di-Pertua Dewan
Rakyat telah terkhilaf apabila menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk usul
tidak percaya boleh mendapat laluan untuk diputuskan oleh Dewan Rakyat ialah
dengan berunding bersama pihak Kerajaan. Ini bukanlah hakikat sebenarnya kerana
masih ada cara dan lunas lain yang dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat itu
sendiri.
"Justeru saya, sebagai
ahli parlimen telah menghantar satu usul di bawah Peraturan 90 (2), iaitu suatu
usul untuk menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15 (1) dan beberapa
peraturan-peraturan mesyuarat lain yang berkaitan, supaya perdana menteri tidak
lagi boleh menghalang amarah rakyat dengan berselindung di sebalik teknikal
undang-undang.
"Bererti melalui usul ini
saya telah meminta agar Dewan Rakyat membuat keputusan agar urusan Kerajaan
ditangguhkan sementara dan usul undi tidak percaya yang dibawa YB Langkawi dibaca
dan diputuskan terlebih dahulu," katanya.
Maszlee turut menjelaskan
bahawa usul tersebut bukan bermaksud mengutamakan perebutan kuasa dan
mengetepikan rakyat sebaliknya, beliau mahu menamatkan kemelut politik negara
ketika ini.
"Usul ini pada asasnya
bukanlah untuk menambah rumit kemelut politik sedia ada di saat rakyat sedang
berdepan bencana. Namun usul ini hakikatnya tampil untuk menamatkannya.
"Sekiranya ahli-ahli Dewan
melihat penting agar usul undi tidak percaya didahulukan, maka ahli-ahli Dewan
boleh menyokong usul ini supaya usul undi tidak percaya boleh didengar dan
diputuskan.
"Kemelut dan krisis
politik yang kita semua hadapi hari ini boleh ditamatkan. Dan semua ini boleh
diselesaikan di Dewan Rakyat. Inilah masanya untuk semua menunjukkan keikhlasan
masing-masing, ketika rakyat berdepan bencana COVID-19 dan berada dalam
kesusahan," katanya.