Speaker tiada pilihan, perlu dahulukan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin


Kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang menyatakan bahawa usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri hanya boleh dilakukan menerusi rundingan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tidak benar, kata Maszlee Malik.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata masih ada cara lain untuk membolehkan usul tidak percaya dibahaskan di Parlimen pada bulan depan.

 Ini setelah beberapa ahli parlimen mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dengan menghantar usul tersebut kepada speaker.

 Maszlee berkata, Muhyiddin sudah menggunakan segala macam alasan untuk tidak membahaskan usul tidak percaya tersebut seperti sidang Parlimen sebelum ini.

 "Seperti biasa, perdana menteri akan menggunakan senjata ampuhnya iaitu Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang menyatakan bahawa urusan kerajaan (apa-apa urusan yang dikehendaki oleh kerajaan) hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.

 "Sebab itu sebarang usul yang melibatkan ketidakpercayaan Dewan terhadap perdana menteri akan diketepikan. Inilah puncanya selama ini usaha ahli-ahli parlimen yang mengemukakan usul undi tidak percaya menemui jalan buntu.

 "Dewan Rakyat akan disibukkan dengan urusan kerajaan. Ini taktik politik dalam sistem demokrasi berperlembagaan apatah lagi apabila perdana menteri tahu majoriti ahli parlimen tidak menyokongnya di Dewan Rakyat.

 "Namun dalam masa yang sama, usul ini penting untuk memastikan keabsahan sokongan terhadap perdana menteri dan sekaligus menentukan kestabilan politik negara," katanya.

 Justeru, Maszlee telah menghantar usul menggantung segala urusan kerajaan bagi membolehkan usul tidak percaya dilakukan di Parlimen pada bulan depan.

 "Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah terkhilaf apabila menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk usul tidak percaya boleh mendapat laluan untuk diputuskan oleh Dewan Rakyat ialah dengan berunding bersama pihak Kerajaan. Ini bukanlah hakikat sebenarnya kerana masih ada cara dan lunas lain yang dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat itu sendiri.

 "Justeru saya, sebagai ahli parlimen telah menghantar satu usul di bawah Peraturan 90 (2), iaitu suatu usul untuk menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15 (1) dan beberapa peraturan-peraturan mesyuarat lain yang berkaitan, supaya perdana menteri tidak lagi boleh menghalang amarah rakyat dengan berselindung di sebalik teknikal undang-undang.

 "Bererti melalui usul ini saya telah meminta agar Dewan Rakyat membuat keputusan agar urusan Kerajaan ditangguhkan sementara dan usul undi tidak percaya yang dibawa YB Langkawi dibaca dan diputuskan terlebih dahulu," katanya.

 Maszlee turut menjelaskan bahawa usul tersebut bukan bermaksud mengutamakan perebutan kuasa dan mengetepikan rakyat sebaliknya, beliau mahu menamatkan kemelut politik negara ketika ini.

"Usul ini pada asasnya bukanlah untuk menambah rumit kemelut politik sedia ada di saat rakyat sedang berdepan bencana. Namun usul ini hakikatnya tampil untuk menamatkannya.

 "Sekiranya ahli-ahli Dewan melihat penting agar usul undi tidak percaya didahulukan, maka ahli-ahli Dewan boleh menyokong usul ini supaya usul undi tidak percaya boleh didengar dan diputuskan.

 "Kemelut dan krisis politik yang kita semua hadapi hari ini boleh ditamatkan. Dan semua ini boleh diselesaikan di Dewan Rakyat. Inilah masanya untuk semua menunjukkan keikhlasan masing-masing, ketika rakyat berdepan bencana COVID-19 dan berada dalam kesusahan," katanya.