Datuk Seri Anwar Ibrahim
dilihat paling layak menerajui negara ketika ini kerana beliau sudah mendapat
sokongan majoriti dari ahli parlimen, kata Naib Pengerusi Majlis Pimpinan
Negeri (MPN) Sarawak, Roland Engan.
Beliau berpandangan, kerajaan
yang diterajui Anwar akan bersifat inklusif dan akan memperjuangkan hak semua
rakyat, tidak seperti kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
"Anwar layak menerajui
kepimpinan negara sekarang kerana beliau bukan sahaja mendapat sokongan
majoriti daripada ahli Parlimen bahkan perjuangannya ialah untuk keadilan bagi
semua rakyat Malaysia.
"Memandangkan Anwar dan PH
berjuang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, bahasa,
budaya dan negeri berasaskan prinsip keadilan, demokrasi, amanah dan progresif,
maka beliau adalah sangat layak dan sesuai untuk memimpin negara," katanya
dalam kenyataan.
Roland juga yakin bahawa
kerajaan pimpinan Anwar akan menangani isu COVID-19 dengan lebih berkesan.
"Perang lawan COVID-19
yang melanda setiap orang tanpa mengira agama, bangsa, agama, bahasa, budaya
dan negeri pasti dapat ditangani dengan lebih baik oleh pemimpin yang berjuang
untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Pada masa sama, Roland selaku
Ketua Cabang KEADILAN Baram membidas pihak yang melabelkan Anwar seorang
pemimpin gila jawatan perdana menteri, sebaliknya menganggap presiden KEADILAN
itu sangat khuatir terhadap sikap 'double standard' yang sering diamalkan oleh
kerajaan PN, terutamanya dalam soal prosedur operasi standard (SOP) bagi
menangani COVID-19.
"Tanpa menegakkan prinsip
keadilan dalam menguatkuasakan PKPB maka semakin ramai pemimpin kerajaan hari
ini bebas melanggar SOP dan tidak didakwa, dan rakyat pula dikenakan denda tak
berpatutan. Ini adalah pilih kasih dan tidak adil.
"Oleh itu, KEADILAN Baram
mengalu-alukan semua pihak yang menyokong perjuangan DSAI & PH untuk
bekerjasama ke arah pembinaan negara-bangsa yang gemilang di bawah kepimpinan
baru negara selepas ini," katanya.