[𝗞𝗲𝗻𝗮𝗽𝗮 𝗔𝗻𝘄𝗮𝗿 𝗵𝗮𝗿𝘂𝘀 𝗷𝗮𝗱𝗶 𝗣𝗠?]
Meskipun nampaknya kebelakangan ini beberapa nama lain turut
muncul untuk dicaturkan sebagai calon Perdana Menteri, tetapi adalah suatu
fakta bahawa Anwar Ibrahim tetap dalam senarai teratas sekali.
Bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang sudah hilang sokongan
majoriti, Anwar adalah calon yang paling layak sekali berbanding semua yang
lain.
Pertama, kerana Anwar satu-satunya yang sudah memiliki sokongan
mencukupi dan angka yang dimilikinya juga sudah pun dipersembahkan kepada Agong
dalam majlis mengadap pada 13 Oktober lalu.
Yang lain-lain, selain tiada angka, tiada juga yang berani
mengadap Agong untuk mempersembahkan adanya sokongan.
Sepatutnya, selepas Anwar mengadap itu, Agong akan menerima
mengadap pula ketua-ketua parti dan beberapa Ahli Parlimen secara individu yang
sudah setuju untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri.
Namun, disebabkan perintah PKPB berkuatkuasa sehingga 27
Oktober, majlis mengadap ketua-ketua parti itu telah ditangguhkan buat
sementara waktu.
Kedua, dengan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri, bermakna
mandat kemenangan PH dalam PRU14 lalu akan dapat dikembalikan semula.
Adalah jelas bahawa mandat PRU14 adalah daripada 2018 sehingga
2023 dan selagi Parlimen tidak dibubarkan, mandat kerajaan adalah milik PH.
Dalam PRU14, selain rakyat memberi mandat kepada PH untuk
mentadbir negara, rakyat juga setuju bahawa Perdana Menteri selepas Tun
Mahathir Mohamad adalah Anwar.
Dengan Tun Mahathir sudah meletakkan jawatan dan tempoh beliau
memegang jawatan selama dua tahun juga telah berakhir, tempoh selebihnya
sehingga 2023 adalah milik Anwar.
Maka, menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah perjuangan
untuk memulihkan semula mandat yang telah dikhianati.
Sebaliknya, cuba mencalonkan nama lain selain Anwar sebagai
Perdana Menteri adalah adalah suatu tindakan yang terkeluar daripada memenuhi
mandat rakyat tersebut.
Ketiga, dari segi pengalaman dengan pernah menjadi Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Terbaik Asia serta punya rangkaian
perhubungan yang baik dengan Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah, Turki dan
lain-lain, kemampuan Anwar memberi kestabilan kepada negara dan merancakkan
pertumbuhan ekonomi tidak perlu diragui lagi.
Berbanding Muhyiddin yang tidak dikenali sama sekali di
peringkat antarabangsa, Anwar dalam hal ini dilihat mampu menarik kedatangan
pelabur untuk rakyat lebih selesa berbelanja dan mengisi perut mereka.
Keempat, Anwar adalah pejuang rakyat sejak dahulu lagi dan
rata-rata rakyat begitu teruja untuk melihat beliau berjaya menjadi Perdana
Menteri.
Rekod tentang apa yang pernah dilakukannya semasa dalam kerajaan
dahulu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Anwar adalah pelindung dan
pembela kepada kehidupan mereka jika kuasa ada dalam tangannya.
Lebih daripada itu, dengan Anwar dilihat tidak begitu digemari
oleh kelompok atasan, kapitalis, korporat dan ahli perniagaan, ia dengan
sendirinya bermakna beliau adalah kesukaan rakyat yang akan menjauhi amalan
kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran kerajaan.
Tamat.