𝗞𝗲𝗻𝗮𝗽𝗮 𝗔𝗻𝘄𝗮𝗿 𝗵𝗮𝗿𝘂𝘀 𝗷𝗮𝗱𝗶 𝗣𝗠?


Malaysia's Anwar Ibrahim urges 'patience' from citizens as king deliberates  on power transition plan | South China Morning Post


[𝗞𝗲𝗻𝗮𝗽𝗮 𝗔𝗻𝘄𝗮𝗿 𝗵𝗮𝗿𝘂𝘀 𝗷𝗮𝗱𝗶 𝗣𝗠?]

Meskipun nampaknya kebelakangan ini beberapa nama lain turut muncul untuk dicaturkan sebagai calon Perdana Menteri, tetapi adalah suatu fakta bahawa Anwar Ibrahim tetap dalam senarai teratas sekali.

Bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang sudah hilang sokongan majoriti, Anwar adalah calon yang paling layak sekali berbanding semua yang lain.

Pertama, kerana Anwar satu-satunya yang sudah memiliki sokongan mencukupi dan angka yang dimilikinya juga sudah pun dipersembahkan kepada Agong dalam majlis mengadap pada 13 Oktober lalu.

Yang lain-lain, selain tiada angka, tiada juga yang berani mengadap Agong untuk mempersembahkan adanya sokongan.

Sepatutnya, selepas Anwar mengadap itu, Agong akan menerima mengadap pula ketua-ketua parti dan beberapa Ahli Parlimen secara individu yang sudah setuju untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Namun, disebabkan perintah PKPB berkuatkuasa sehingga 27 Oktober, majlis mengadap ketua-ketua parti itu telah ditangguhkan buat sementara waktu.

Kedua, dengan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri, bermakna mandat kemenangan PH dalam PRU14 lalu akan dapat dikembalikan semula.

Adalah jelas bahawa mandat PRU14 adalah daripada 2018 sehingga 2023 dan selagi Parlimen tidak dibubarkan, mandat kerajaan adalah milik PH.

Dalam PRU14, selain rakyat memberi mandat kepada PH untuk mentadbir negara, rakyat juga setuju bahawa Perdana Menteri selepas Tun Mahathir Mohamad adalah Anwar.

Dengan Tun Mahathir sudah meletakkan jawatan dan tempoh beliau memegang jawatan selama dua tahun juga telah berakhir, tempoh selebihnya sehingga 2023 adalah milik Anwar.

Maka, menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah perjuangan untuk memulihkan semula mandat yang telah dikhianati.

Sebaliknya, cuba mencalonkan nama lain selain Anwar sebagai Perdana Menteri adalah adalah suatu tindakan yang terkeluar daripada memenuhi mandat rakyat tersebut.

Ketiga, dari segi pengalaman dengan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Terbaik Asia serta punya rangkaian perhubungan yang baik dengan Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah, Turki dan lain-lain, kemampuan Anwar memberi kestabilan kepada negara dan merancakkan pertumbuhan ekonomi tidak perlu diragui lagi.

Berbanding Muhyiddin yang tidak dikenali sama sekali di peringkat antarabangsa, Anwar dalam hal ini dilihat mampu menarik kedatangan pelabur untuk rakyat lebih selesa berbelanja dan mengisi perut mereka.

Keempat, Anwar adalah pejuang rakyat sejak dahulu lagi dan rata-rata rakyat begitu teruja untuk melihat beliau berjaya menjadi Perdana Menteri.

Rekod tentang apa yang pernah dilakukannya semasa dalam kerajaan dahulu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Anwar adalah pelindung dan pembela kepada kehidupan mereka jika kuasa ada dalam tangannya.

Lebih daripada itu, dengan Anwar dilihat tidak begitu digemari oleh kelompok atasan, kapitalis, korporat dan ahli perniagaan, ia dengan sendirinya bermakna beliau adalah kesukaan rakyat yang akan menjauhi amalan kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran kerajaan.

Tamat.

-

Shahbudin Husin