Usaha kerajaan 'tebuk atap' Perikatan
Nasional (PN) untuk memalukan Pakatan Harapan (PH) kononnya telah memberi
projek runding terus berjumlah RM6.61 bilion gagal sama sekali dalam sesi
Parlimen yang lepas.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Alor
Setar, Chan Ming Kai, rakyat melihat ketelusan PH dalam merundingkan semula
projek runding terus era BN yang membazir.
"Usaha PN untuk memalukan mantan
Kerajaan Malaysia, iaitu Pakatan Harapan menemui jalan buntu dan digagalkan
oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dari DAP.
"Ini menunjukkan Ahli-ahli
Parlimen PH sewaktu mereka menjadi menteri telah menjalankan tugas mereka
dengan baik, sempurna dan terperinci," kata Ming Kai dipetik.
Menurut beliau lagi, ketelusan yang
ditunjukkan itu sepatutnya menjadi daya penarik kepada rakyat untuk mengundi PH
semula dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Oleh itu, saya berharap untuk
PRU15 yang akan datang ini, rakyat akan memilih dengan bijak untuk masa depan
negara yang maju dan makmur supaya rakyat dapat hidup dalam aman sejahtera
dengan kos sara hidup berpatutan serta ekonomi yang tumbuh pesat," katanya
lagi.
Pada 26 Ogos lalu, dalam sidang
Parlimen, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, memberitahu Dewan Rakyat
PH memuluskan 101 projek runding terus bernilai RM6.61 bilion.
Namun sehari kemudian, bekas Menteri
Kewangan Guan Eng membentangkan bahawa projek rundingan terus di bawah PH hanya
RM352 juta, selepas Kementerian Kewangan mendedahkan senarai penuh projek yang
diluluskan.