Khaled Nordin beritahu Umno ada ramai calon PM
ULASAN: Politik Malaysia adalah sangat dinamik. Semenjak tiga pilihan raya umum (PRU) lepas, kita menyaksikan Parlimen Malaysia tidak lagi mempunyai parti yang menguasai majoriti dua per tiga kerusi.
Ini akan menjadi feature yang kekal dan kewujudan sistem dua parti itu sebagai realiti.
Ini menyebabkan kesukaran untuk melantik perdana menteri. Parti yang terbesar dalam PRU ke-14 tidak menerima pencalonan sebagai perdana menteri kerana kesepakatan mereka untuk melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Ini sangat bertentangan dengan amalan demokrasi berperlembagaan. Secara perlembagaan, parti dengan ada kerusi terbanyak sepatutnya dijemput untuk membentuk kerajaan dan adalah tugas parti tersebut meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa calon perdana menteri mereka mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi.
Bagaimana ia ingin mendapatkan sokongan? Adalah dengan mendapatkan sokongan sekutu politik mereka atau coalition partners.
Selepas PRU ke-14, Pengerusi Bersatu – dengan hanya 13 kerusi di Dewan Rakyat – dilantik sebagai perdana menteri. Ia menjadikan Bersatu parti terlemah dalam Pakatan Harapan (PH).
Tetapi dengan jawatan perdana menteri, ia mempunyai tarikan yang menyebabkan ahli parlimen melompat. Dan itulah yang dilakukan oleh Mahathir untuk mengukuhkan partinya.
Itu adalah budaya politik yang sangat tidak sihat dan mesti ditamatkan. Kita tidak boleh lagi bersetuju menamakan perdana menteri dari parti yang tidak mempunyai kekuatan politik sebenar.
Ia akan selamanya menjadikan kerajaan tidak stabil dan kucar-kacir.
Kerana itu, dalam PRU akan datang, Umno mesti menawarkan calon perdana menteri jika ia memenangi kerusi terbanyak. Malah jika Umno tidak memenangi jumlah kerusi terbanyak pun, ia mesti bersedia dengan calonnya jika calon tersebut boleh menggembleng sokongan untuk membentuk kerajaan.
Umno ada ramai calon berpotensi untuk diketengahkan. Umno mempunyai Tengku Razaleigh Hamzah, Mohamad Hasan, Ismail Sabri Yaakob, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beberapa nama lain untuk diketengahkan.
Mereka ini semuanya berpotensi dan merupakan ‘prime miniter’s material’. Jadi terpulanglah kepada Umno dan kepimpinannya untuk mencapai kesepakatan bagi menamakan calonnya.
Jadi walaupun ketika ini Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai calon perdana menteri, Umno jangan terburu-buru mengehadkan pendiriannya.
Malah pendirian Umno harus datang daripada muafakat dalam parti berdasarkan kedinamikan politik negara.
Yang pasti Umno mempunyai calon yang bukan sahaja bersedia menjadi perdana menteri tetapi juga memiliki wibawa, pengaruh, pengalaman dan pesona yang dapat diterima oleh semua rakyat Malaysia.