KENYATAAN MEDIA
MAJLIS SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN
14 Julai 2020
Pakatan Harapan melahirkan rasa kesal terhadap proses pengguguran Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ariff Yusof semalam yang menjadikan Malaysia negara pertama dalam sejarah di kalangan negara-negara Komanwel untuk menggugurkan seorang Yang di-Pertua sebegini rupa.
Ini bukanlah satu duluan (precedent) yang membanggakan, lebih-lebih lagi apabila prosesnya tempang sedemikian rupa.
Kami juga kesal dengan perbahasan usul tersebut, di mana hanya empat orang pembahas dibenarkan berbahas dalam masa 10 minit seorang.
Bagi suatu usul yang bersejarah seperti ini, seharusnya lebih banyak masa diperuntukkan bagi mendengar sepenuhnya hujah kedua-dua belah pihak.
Tambahan pula, selepas usul mengosongkan jawatan Yang di-Pertua, usul menamakan seorang Yang di-Pertua baharu juga menampakkan sikap Kerajaan yang seharusnya lebih demokratik.
Hujah Pembangkang agar masa 14 hari diberikan untuk menamakan calon tidak diendahkan.
Malah calon Yang di-Pertua juga tidak dipersetujui secara undian di dalam Dewan.
Pakatan Harapan amat kesal dengan sikap Kerajaan hari ini yang kelihatan mahu meletakkan Parlimen di bawah telunjuk eksekutif.
Parlimen sebagai badan perundangan (legislative) wajib bebas dari sebarang unsur kawalan dari luar.
Jika Parlimen dikawal pihak eksekutif, maka demokrasi negara dalam keadaan yang amat tergugat.
Kejadian semalam yang merupakan titik hitam buat demokrasi di Malaysia mengukuhkan iltizam Pakatan Harapan untuk memastikan mandat rakyat dikembalikan ke tempatnya.
YB DS Saifuddin Nasution Ismail
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Datuk Wira Dr Hatta Ramli
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Loke Siew Fook
Parti Tindakan Demokratik (DAP)