APA KEPUTUSAN BESAR BAKAL UMNO LAKUKAN BERIKUTAN KEPUTUSAN TERHADAP NAJIB


Sebaik keputusan bersalah dijatuhkan terhadap Najib Razak dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana SRC International, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, suatu keputusan politik yang besar akan dibuat oleh parti lanjutan daripadanya.
“Saya amat simpati dan berasa sedih bukan saja sebagai seorang Presiden UMNO, namun yang paling penting, beliau adalah sahabat saya.
“Tapi ini bukan penghujung dunia, proses masih berjalan, namun tentunya kita akan mengambil satu keputusan politik yang agak besar hasil keputusan mahkamah hari ini.
“Tentunya ada sesuatu yang akan dilakukan UMNO dan tunggu keputusannya yang akan kami bincangkan nanti,” katanya lagi.
Zahid seterusnya meminta ahli parti agar bersukap terbuka terhadap keputusan yang diputuskan oleh parti berhubung perkembangan kes Najib ini.
Begitu pun, beliau meminta ahli parti agar “berlapang dada” terhadap keputusan mahkamah kerana percaya masih ada ruang untuk Najib mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara.
“Saya yakin Najib seorang yang cekal dan tabah,” tambahnya lagi.
Apa agaknya keputusan politik besar yang akan diambil UMNO susulan hukuman terhadap Najib ini?
Jika kita masih ingat, dalam sebuah rakaman audio yang dibocorkan oleh Lokman Noor Adam, Zahid Hamidi pernah menyebut bahawa usaha UMNO mahu menjadi kerajaan semula dengan menyokong Tun Mahathir Mohamad, antaranya adalah untuk menyelamatkan kedudukan Najib.
Tetapi, sekarang dengan Najib akhirnya dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta, apa yang UMNO mahu lakukan walaupun mereka sudah merupakan sebahagian daripada kerajaan?
Apakah UMNO menyesal berada dalam kerajaan?
Apakah dengan ini UMNO akan menarik diri daripada kerajaan PN dan menumbangkan Muhyiddin Yassin dengan tujuan agar PRU semula dapat diadakan?
Adakah dengan hukuman terhadap Najib ini membuatkan Zahid Hamidi juga berasakan masa depan politiknya bersama beberapa lagi pemimpin UMNO yang turut didakwa di mahkamah akan turut menjadi gelap?
Jika benar UMNO akan membuat keputusan demikian, apakah semua Ahli Parlimen UMNO akan akur atau sebahagian mereka akan menolaknya lantarannya sudah sedap dengan nikmat jawatan dalam kerajaan yang dinikmati sekarang?
Bagaimana jika ramai tidak setuju, sebaliknya merasakan lebih wajar UMNO terus berada dalam kerajaan dan menyokong kepimpinan Muhyiddin sehingga PRU akan datang? (Shahbudindotcom 28/07/2020)

No comments: