Perjuangan DAP adalah berlandaskan ideologi sosial demokrasi yang memberi keadilan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit atau agama, kata Ketua DAPSY Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Tegasnya, DAP berjuang mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang termasuk menghormati sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan, sekaligus menyangkal dakwaan buruk sesetengah pihak terhadap parti itu.
“DAP tidaklah seperti mana yang dimomok-momokkan oleh musuh-musuh atau seteru-seteru politik.
“Kerana DAP – jika dilihat dasarnya – perlembagaannya tidak berteraskan perkauman, ras, ataupun warna kulit atau untuk satu-satu golongan tertentu sahaja.
“DAP adalah parti yang berdiri atas semangat atau roh sosial demokrasi,” katanya dalam sesi forum santai bertajuk “Borak-borak: Kenapa DAP?” katanya dalam forum santai yang disiarkan secara langsung di Facebook, semalam.
Jelas Sheikh Umar yang juga Adun Paloh, ideologi sosial demokrasi antara lain bererti DAP tidak memandang latar belakang kaum atau agama seseorang dalam membuat pertimbangan untuk mencurahkan khidmat bakti.
“Kita perlu bantu yang mana yang memerlukan pembelaan, yang ditindas ataupun yang dizalimi. Mereka ini yang perlu kita bantu tidak kira apa warna kulit mereka,” ujarnya.