Belum pun reda kemarahan rakyat terhadap peristiwa pembebasan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman daripada pertuduhan 46 kes rasuah dan pengubahan wang haram, hari ini rakyat Malaysia mendapat khabar pula tentang tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan harga maksimum (syiling) RON95 dan diesel.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menetapkan bahawa harga RON95 dan diesel tidak boleh dijual melebihi RM2.08 dan RM2.18. Keputusan ini diambil sebagai sebahagian usaha kerajaan PH untuk menyelami denyut nadi rakyat yang sedia ada terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
Malah, kerajaan PH juga berhasrat untuk melaksanakan subsidi petrol bersasar supaya golongan yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut
Bagaimanapun, usaha kerajaan PH ini nampaknya bakal berakhir. Kerajaan PN mengambil langkah terkebelakang. Penghapusan harga maksimum RON95 dan diesel ini akan membolehkan harga bahan api itu diapung melebihi harga RM2.08 dan RM2.18. Tidak mustahil kita bakal menyaksikan peningkatan harga petrol sepertimana ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.
Apa jadi dengan rancangan kerajaan PH untuk melaksanakan subsidi bersasar? Adakah ia akan terkubur begitu sahaja? Jika harga petrol benar-benar naik melebihi harga syiling yang ditetapkan sebelum ini, rakyat akan bertambah terbeban lebih-lebih lagi bagi mereka yang kehilangan pekerjaan akibat impak ekonomi Covid-19.
Jangan pula ada pengikut PN yang mendakwa harga bahan api yang lebih murah ketika ini disebabkan oleh usaha kerajaan hari ini. Penurunan ketara harga bahan apa itu adalah kerana wabak Covid-19 yang memberi impak kepada ekonomi dunia.