Menang atas tiket PH, sila ikut langkah Dr Shahruddin – Khalid
Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad menyeru semua Ahli Parlimen yang menang pilihan raya umum ke 14 atas tiket Pakatan Harapan (PH) agar segera mengikut langkah Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh meninggalkan Perikatan Nasional
Katanya, Ahli-ahli Parlimen perlu mengisafi kedudukan mereka dan bertindak berdasarkan prinsip sebagaimana mandat rakyat yang mereka terima pada 9 Mei 2018 lalu.
Khalid dalam kenyataannya berkata, beliau kagum dengan tindakan bekas timbalan beliau di Kementerian Wilayah Persekutuan itu yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya kerana menjunjung prinsip hidup.
“Beliau melepaskan jawatan semata-mata kerana menghormati mandat rakyat kepada beliau dalam pilihan raya umum ke 14 lalu di Parlimen Sri Gading adalah mandat kepada Pakatan Harapan dan bukan Perikatan Nasional,” katanya.
Padahal, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, beliau adalah antara orang yang paling rapat dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pernah menjadi Setiausaha Politiknya semasa Muhyiddin Timbalan Perdana Menteri.
“Namun hubungan rapat ini tidak mengaburkan pernilaian beliau sehingga beliau tetap bertindak atas dasar prinsip.
“Tahniah atas keberanian dan prinsip yang dipertahankan oleh Dr Shahruddin,” kata Khalid.