Lebih banyak kuota rumah sewa beli di P Pinang
Pulau Pinang bakal merezabkan 10 peratus daripada keseluruhan 180,000 unit rumah mampu milik yang akan dibina untuk rakyat negeri kepada rakyat melalui sewa beli.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, dengan permintaan terhadap yang sangat tinggi, Kerajaan Negeri merancang sistem itu yang dapat memanfaatkan golongan layak dapat dilaksana menjelang 2030.
“Sejak tahun 2008 sehingga kini, sebanyak 29,959 unit rumah mampu milik pelbagai kategori telah dibina; 23,985 unit sedang dibina dan 48,391 telah diberi kelulusan untuk dibina menjadikan 102,335 unit ditawarkan dan bakal ditawarkan kepada rakyat di negeri ini.
“Daripada jumlah tersebut, 1,062 unit telah diketepikan membabitkan lima projek perumahan iaitu empat di Seberang Perai dan satu di bahagian pulau untuk ditawarkan secara sewa beli.
“(Dan) selaras pengumuman baru-baru ini, Kerajaan Negeri bertekad mengetepikan 10 peratus daripada sasaran 180,000 unit rumah yang bakal dibina menjelang tahun 2030 ditawarkan secara sewa beli selaras dengan Visi Penang2030,” Jelasnya.
Jagdeep katanya demikian dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Perumahan Secara Sewa Beli kepada 21 pembeli Projek Perumahan Awam Kos Rendah di Taman Seri Desa, Tasek Gelugor pada Sabtu lalu.
Jagdeep sementara itu turut emaklumkan bahawa dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan dana sebanyak RM3 bilion bagi menjayakan tawaran perumahan secara sewa beli.
“Kerajaan Persekutuan tahu bahawa pembeli sukar untuk mendapatkan pinjaman dari bank-bank komersial.
“Dana ini sepatutnya digunakan bagi membolehkan golongan yang tidak mampu mendapatkan pinjaman memiliki rumah,” ulasnya
Sebagai rekod, kerajaan Pulau Pinang meletakkan rumah mampu milik kategori A (kos rendah) pada had maksimum RM42,000; kategori B (kos sederhana rendah) pada harga RM72,500; kategori C1 (RM150,000); kategori C2 (RM200,000) dan kategori C3 (RM300,000). – RF8 Media