Hapus isu perkauman atau PH kerajaan sepenggal
Isu perkauman yang menjadi-jadi dicetuskan oleh parti-parti pembangkang dan anasir tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan atas kebebasan media berpotensi menjadikan Malaysia huru-hara.
Tinjauan Suara Pakatan Daily mendapati bukan sahaja kos hidup yang menyebabkan rakyat tidak puas hati terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi juga di atas kelembapan penguatkuasaan hukuman tegas kepada penyebar fitnah dan pihak-pihak yang mengambil kesepatan mengapi-apikan sentimen perkauman.
Seorang peniaga Kok Meng, 45 tahun, yang menetap di Kuala Lumpur berpendapat selagi sentimen kaum bermaharaja lela di media sosial, kerajaan PH tidak akan mampu bergerak ke hadapan dan bakal kalah dalam setiap pilihan raya kecil (PRK) juga pilihan raya umum (PRU) ke 15.
“Memang kerajaan PH sedang menghadapi banyak masalah hasil dari kepincangan pentadbiran mantan kerajaan BN. Tetapi fokus utama PH hari ini mestilah menghapuskan isu perkauman.
“Sehingga sekarang, pemimpin-pemimpin parti lawan masih lagi menghasut topik-topik perkauman dan tidak diambil tindakan. Kalau perkara ini berterusan, bukan sahaja keharmonian negara terjejas tetapi PH akan tumbang dalam PRU 15.
“Oleh itu, saya gesa PH ambil tindakan serius terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu perkauman sebelum negara kita huru-hara dan dipaparkan dalam media antarabangsa,” katanya.
Selain Kok Meng, lebih 30 orang lain yang ditemubual berghubung isu-isu kelemahan kerajaan PH dan PRK Rantau pada April depan menganggap keadaan politik semasa semakin buruk sejak PRU 14 lepas.
Ramli, 38 tahun, seorang pemandu teksi dari Segambut mengeluh harga petrol RON 95 masih mahal bagi rakyat marhaen dan mencadangkan kerajaan menambah subsidi sebanyak 20 sen daripada harga sekarang RM2.08 seliter
“Harga RON95 pada paras RM2.08 seliter masih mahal. Kita mahu harga kekal bawah RM2 seliter.
“Kami sudah bosan dengan alasan Kerajaan sedang mengalami kekangan kewangan kerana negara kita boleh pinjam dari negara Jepun yang saya pasti akan membantu Malaysia.
“Hanya satu janji manifesto yang ditunaikan, penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan tetapi ia digantikan dengan SST pada bulan September lalu dan kini harga barang melambung tinggi.
“Justeru, saya pikir PH akan kalah di PRK Rantau. Rakyat sedang marah,” katanya.
Bagi Kumari pula, seorang kerani berusia 40 tahun yang menetap di Kepong Baru, Kuala Lumpur Kerajaan PH amat mengecewakan kerana gagal menyediakan perkhidmatan keretapi komuter yang sistematik di Kepong.
“Perkhidmatan keretapi komuter hampir tergendala di Kepong. Perkhidmatan yang terakhir pada 7.20 setiap pagi. Masa itu ramai pekerja pejabat yang akan berpusu-pusu naik keretapi.