Penyokong BN buat provokasi, calon Pas tidak kelihatan
Penyokong Barisan Naisonal (BN) bertegas tidak mahu berundur dari garis jarak 50 meter dari penyokong Pakatan Harapan (PH) semasa proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, di sini hari ini.
Polis terpaksa mengawal antara penyokong BN dan PH selepas jarak antara mereka terlalu dekat dan dibimbangi boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.
Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa mengawal di hadapan penyokong BN yang enggan berundur.
Kedua-dua penyokong melaungkan slogan tanda sokongan terhadap calon masing-masing dengan BN melaungkan ‘Hidup BN’ manakala PH melaungkan ‘Reformasi’.
Penyokong PH pula tidak berpuas hati dengan tindakan penyokong BN yang enggan berundur dari tempat asal mereka iaitu 50 meter dari jarak penyokong PH.
Sebelum itu kedua-dua calon BN dan PH mula mengemukakan kertas penamaan calon dijadualkan selama sejam di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi tersebut.
Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan mencabar calon PH, Zawawi Ahmad Mughni, yang akan mempertahankan kerusi PKR itu.
Zawawi merupakan pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan lalu akibat kanser limfoma.
Pada pilihan raya umum lepas, PKR mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dengan 23,998 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari pengundian.