Pilihanraya kecil Sungai Kandis pada 4 Ogos depan adalah pilihanraya kecil pertama dalam sejarah yang akan dilalui oleh UMNO dalam kedudukannya bukan lagi sebagai kerajaan.
Sebaliknya, UMNO kali ini akan bertanding sebagai parti pembangkang yang tiada kuasa untuk memberi apa-apa kepada pengundi.
Dengan yang demikian, bukan saja tiada lagi beras, barangan keperluan harian atau alatan dapur dapat diberikan, malah penggunaan segala jentera dan bantuan kerajaan untuk tujuan memancing undi dan mendapat sokongan juga tidak boleh lagi dilakukan.
Sebab itu, kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, mereka bertanding di Sungai Kandis kali ini hanya dengan mulut saja dan bukan lagi menggunakan duit.
Alahai, kesiannya...
Takkan belum sampai 100 hari sejak ketiadaan kuasa, UMNO sudah pokai segala-galanya?
Apakah UMNO merasakan di mana dulu mereka bukan main bangga dengan amalan ‘cash’ adalah ‘king’, tetapi setelah ketiadaan kuasa bermakna ‘cash’ dengan sendirinya sudah jadi ‘kong’?
Adakah ini bermakna para pemimpin UMNO pun tiada wang untuk disumbangkan bagi keperluan parti?
Adakah pengakuan Mat Hassan itu bermakna UMNO selama ini bertanding untuk menang pilihanraya dengan hanya pakai duit semata-mata?
Berapa lama UMNO mampu bertahan dengan perjuangan mulut saja, walhal selama ini semua perkara dilakukan semata-mata kerana wang? (ShahbudinHusin 21/07/2018)