Najib hilang sokongan ahli Umno? – Zaid
Datuk Zaid Ibrahim mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin terasing berdasarkan ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada perwakilan Umno di Perhimpunan Agung Umno minggu ini.
“Zahid terpaksa merayu perwakilan Umno sehari sebelum perhimpunan agung agar tidak mengabaikan Najib,” kata Zaid.
Ahli DAP itu berkata ucapan Zahid sangat pelik kerana seolah-olah menggambarkan Najib kehilangan sokongan kawan dalam dan luar parti.
“Pandikar Amin Mulia, Abdul Rahman Dahlan dan Salleh Said Keruak sahajalah kawan-kawan dia.
“Dia tidak diingini Umno dan lagi tidak diingini oleh masyarakat umum. Semua orang hanya menunggu dia pergi.”
Menurut Zaid, banyak khabar angin berkenaan Najib cuba mencari “kawan-kawan” berpengaruh untuk menyertai serangan ke atas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP.
“Saya ingin cadang kepada mereka ini untuk menjauhkan diri dan jangan terlalu beria-ria menolong PM.
“Adalah malang jika mereka ini tersalah baca mood politik dan membuat kesilapan besar menyokong seorang yang gagal.”
Beliau berkata mereka tidak menyebelahi mana-mana pihak sekarang ini.
“Kem Najib menampakkan semangat berani dan yakin tetapi realiti politik menggambarkan dia penuh bermasalah.”
Zaid sempat membidas Najib dan Umno kerana semacam kehilangan sokongan sekutu tidak rasmi mereka, PAS.
“Strategi PM bekerjasama dengan PAS telah gagal.
“Walaupun Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan kekal sebagai teman sejati untuk bertahun-tahun lamanya, penyokong PAS telah sedar bekerja dengan Umno telah menyebabkan jurang antara mereka dan kawan-kawan mereka di kedai kopi dan surau.
“Mereka malu untuk bercakap tentang kerjasama dengan Najib.”