‘Lantik PM, saya tak pernah rehat lagi’ – Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas lanjut spekulasi beliau dijadikan perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan (PH) berkuasa, sebaliknya berkata beliau sepatutnya berehat.
“Tak tahulah kalau semua orang nak tu (jadi perdana menteri). Saya tak pernah rehat lagi ni. Dah pencen, patutnya saya berehat. Saya nak pergi pelayaran, tak ada peluang langsung,” katanya kepada pemberita malam tadi selepas menyertai forum mengenai ahli perniagaan dikaitkan dengan skandal 1MDB, Low Taek Jho, atau Jho Low.
“Mula-mula Paklah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) buat kacau, lepas tu Najib buat kacau. Lepas itu, suruh saya jadi pengerusi (PH). Sekarang ini bakal perdana menteri. Wah seronok lah,” katanya.
Sebelum ini, PH dalam mesyuaratnya ada membangkitkan cadangan melantik Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya gabungan 4 parti itu memenangi pilihan raya umum (PRU).
Dr Mahathir sebelum ini beberapa kali berkata beliau bersedia memegang kembali jawatan yang pernah dipegangnya selama 22 tahun, sekiranya PH tidak mempunyai pilihan lain.
PKR yang menjadi salah satu anggota PH sebelum ini bertegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, masih menjadi pilihan perdana menteri.
Sementara itu, Dr Mahathir semalam menjawab cabaran Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang untuk menang besar pada PRU pilihan raya umum (PRU) akan datang, dengan berkata Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinannya dulu mampu menang dengan 2/3 kerana tidak mempunyai “penyangak” di kalangan parti pemerintah.
“Lima kali pilihan raya, saya menang 2/3. Ini lain punya pilihan raya. Pada masa saya dahulu, tak ada penyangak. Jadi saya boleh menang lah.
Sekarang ini, ada penyangak,” katanya.
Sekarang ini, ada penyangak,” katanya.
Bercakap di Perhimpunan Agung Umno semalam, Khairy mencabar Dr Mahathir membuktikan kemampuannya untuk memenangi PRU14 dengan majoriti besar.
Khairy beranggapan era pemerintahan Dr Mahathir tidak berdepan cabaran seperti media sosial dan blog.
“Kalau zaman beliau ada internet, ada blog, ada segala bagai media sosial seperti hari ini, saya teringin nak tengok sama ada beliau masih boleh menang mudah 2/3,” katanya.
Dr Mahathir yang memimpin Umno dan BN dari 1981 hingga 2003 berkata berbeza daripada dulu, apa yang tidak disukai oleh Presiden Umno kini, Datu Seri Najib Razak, tidak boleh diperkatakan oleh ahli Umno.
“Apa yang Najib tak suka, jangan cakap. Masa saya, mereka hentam saya konon ada kronilah, macam-macam. Tapi (sekarang) ini tak boleh.”
Dr Mahathir berkata perhimpunan Umno kini hanyalah seperti sebuah pesta.
Dr Mahathir berkata perhimpunan Umno kini hanyalah seperti sebuah pesta.
“Jadi mai situ, pakai cantik-cantik dapat baju baru, seronok lah. Makan pun dapat, lepas tu hadiah ada lagi. Sebab itu dia (ahli Umno) datang, kalau tak, dia tak datang,” katanya.