GST atas 60 barang tak jadi? Tunggu lepas PRU 14! – Guan Eng
Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini meramalkan GST yang dibatalkan untuk 60 barangan baharu akan dikenakan kembali selepas pilihan raya.
Beliau berkata pembatalan mendadak ke atas 60 barangan itu bukan kerana mengenang kesusahan rakyat, tetapi pilihan raya umum yang semakin dekat.
Kastam baru-baru ini menterbalikkan arahan pengenaan GST ke atas 60 barangan baharu termasuk makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah ratus dan mi. Ia sepatutnya berkuasa 1 Julai.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Subromaniam Tholasy berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan kementerian kewangan.
Lim berkata pembatalan itu bererti keputusan mengenakan GST ke atas 60 barangan berkenaan sudah ditentukan sebelum ini.
Beliau menjelaskan arahan hanya boleh dibatalkan selepas ia diwarta dan ditandatangani menteri bertanggungjawab.
“Tidak boleh nafi arahan itu sudah diwarta dan ditandatangani menteri. Kami faham mengapa GST tidak diluaskan kepada 60 barangan lain.
“Ia membabitkan barangan makanan, bukan berlian merah jambu, hitam atau biru. Tetapi GST dikenakan ke atas 60 barang makanan seperti jagung dan marjerin yang digunakan kebanyakan rakyat…walaupun tahu rakyat sedang melalui waktu yang sukar.
“Tiada GST kalau BN kalah,” kata Lim pada sidang media di Komtar hari ini.
Barangan lain yang dikenakan GST termasuk bihun, kuey teow, mi laksa, minyak kelapa, belut dan ikan todak, buah-buahan import seperti avokado, buah ara, anggur, pic, ceri dan beri.
Di bawah kategori sayur-sayuran, ubi kentang, kacang panjang, kacang pea, bayam dan jagung manis akan mula dikenakan GST.
Kerajaan memperkenalkan GST 6% ke atas barangan dan perkhidmatan pada April 2015.