Pengundi diberi RM50 untuk daftar tukar kawasan?
Seorang ahli majlis perbandaran DAP membuat laporan polis mengenai suatu “kempen” di mana pengundi didakwa diberi RM50 untuk menukar kawasan pilihan raya.
Ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai Satees Muniandy berkata kempen itu diadakan di Seberang Jaya dan Bagan Dalam sejak 2 minggu lalu.
Dia berkata seorang yang tidak dikenali telah mengatakan Hindu Sangam Malaysia memanggil pengundi berketurunan India untuk “membawa kad pengenalan mereka” supaya menukar kawasan pilihan raya dari Seberang Jaya (kerusi PKR) ke Perai.
Satees dalam laporan polisnya mendakwa kempen itu untuk meningkatkan bilangan pengundi untuk Barisan Nasional (BN) dan MIC.
Perai adakah bekas kerusi tradisi MIC dan ditawan DAP sejak 2008. Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy menduduki kerusi tersebut.
Satees mendakwa RM50 dibayar sebagai ganjaran kepada mereka yang membawa kad pengenalan untuk memudahkan pemindahan nama di Perai.
“…ini dimaklumkan kepada saya oleh seorang bernama Sumi, yang menghubungi saya *semalam,”*kata laporan polis Satees. Dia menunjukkan laporannya kepada pemberita hari ini.
Satees berkata awal minggu lalu seorang warga emas datang ke pejabat DAP Perai untuk mengadu tentang “orang MIC dan Hindu Sangam” mengumpul kad pengenalan di DUN Bagan Dalam.
Satees mendakwa kawasan pengundian mereka juga sudah ditukar ke Perai. Kerusi Bagan Dalam juga dipegang DAP.
Beliau menyeru polis supaya menyiasat MIC, Hindu Sangam Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencari siapa yang memanipulasi daftar pengundi di Perai dan Bagan Dalam.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid mengesahkan polis menerima laporan itu.
Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah diberi salinan laporan polis tetapi masih belum mengulas tentang perkara ini.
Presiden Hindu Sangam Malaysia Mohan Shan dengan tegas menafikan penglibatan dalam kempen sedemikian, menyifatkan dakwaan itu sebagai “pembohongan”.
Mohan berkata Satees mempunyai “agenda tersembunyi”.
“Laporan mereka memburukkan nama Hindu Sangam, dan kami mahu mereka menjelaskan perkara ini dalam tempoh 48 jam. Kami akan failkan laporan polis mengenai perkara ini,” kata Mohan kepada FMT.
Ketua Bendahari MIC S Vell Paari menafikan dakwaan Satees, menyifatkan ia propaganda pilihan raya.
“Oleh kerana mereka melapor, biar polis menyiasat, kerana mereka tahu mereka akan hilang kerusi Perai kepada MIC kali ini.
“Mereka sudah bersedia untuk kekalahan itu supaya selepas pilihan raya, mereka boleh memberikan ini sebagai alasan kekalahan.”