‘IPIC akui tidak terima wang 1MDB: Jabatan Audit Negara ditipu?’
“Syarikat yang Jabatan Audit Negara, PAC, Bank Negara, SPRM, polis dan AG tidak tahu siapaPengakuan bertulis syarikat International Petroliam Investmen Company (IPIC) kepada London Stock Exchange menyatakan IPIC tidak pernah menerima sebarang wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu pun daripada syarikat Aabar British Vergin Islands (BVI) yang dikatakan telah menerima USD3.5 bilion (RM13 bilion) daripada 1MDB mengejutkan dunia perniagaan dan politik negara.
Apatah lagi pengakuan itu dibuat beberapa hari selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membersihkan PM Najib daripada sebarang tuduhan salah laku yang berkait dirinya dan 1MDB.
Bagi ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, pengakuan IPIC bahawa syarikat Aabar BVI bukan entiti di bawah mana-mana kumpulan syarikat milik mereka menimbulkan persoalan besar ke atas bayaran kewangan yang telah dibuat oleh 1MDB sebelum ini. Terutamanya, kata Mahfuz, 1MDB telah mengemukakan Certificate Of Incumbency yang dikeluarkan oleh Offshore Incorporation Limited bagi membuktikan bahawa Aabar Ltd yang berdaftar di British Vergin Islands (BVI) adalah anak syarikat IPIC.
“Tetapi Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati Aabar BVI tidak tersenarai dalam kumpulan IPIC berdasarkan Penyata Kewangan 2013 dan 2014. Pengakuan IPIC dan Aabar Investmen PJS akhirnya mengesahkan Aabar BVI bukan milik mereka.
“Persoalannya, adakah sijil daripada Offshore Incorpprotion yang diberikan 1MDB kepada JAN itu palsu, atau adakah 1MDB telah memalsukan sijil tersebut? Daripada mana sebenarnya 1MDB mendapat sijil tersebut?
“Dalam hal ini adakah 1MDB telah menipu Jabatan Audit Negara (JAN)?” tanya Mahfuz dalam satu kenyataan.
Selain itu, katanya lagi, persoalan yang lebih besar tentunya kepada siapakah wang berjumlah USD3.5 bilion (RM13 bilion) dibayar dan akaun mana wang tersebut di depositkan?
“Jika ke akaun Aabar BVI, siapakah pemiliknya? Kalau bukan ke akaun Aabar BVI, ke akaun mana pula wang tersebut didepositkan oleh 1MDB dengan kebenaran bertulis Najib?
“Adakah wang tersebut dideposit ke akaun Pak Man Telo atau kepada akaun Ceti atau akaun Along?
“Pertanyaan akhir saya, adakah “derma” RM2.6 bilion yang diterima PM Najib itu merupakan “derma” daripada syarikat Aabar BVI? pemiliknya?” akhiri Mahfuz.