‘Di U.K, PM guna klip kertas diaudit, dihebahkan kepada umum’
Di United Kingdom (U.K), dua tahun lalu rakyat mereka pernah memberi komen tentang penggunaan klip kertas oleh Perdana Menteri mereka, David Cameron.
Di U.K semua perbelanjaan Ahli Parlimen akan dipaparkan di laman web www.parliament.uk. untuk tatapan umum. Laman web tersebut menyenaraikan butiran terperinci kos penggunaan alat tulis dan setem semua Ahli Parlimen.
Juga perbelanjaan minyak, acara rasmi yang dianjurkan oleh mereka termasuk perbelanjaan katering, selain pembayaran yang telah dibuat kepada tuntutan dan elaun.
Baru-baru ini, selepas pembongkaran ‘The Panama Papers’, PM David Cameron terpaksa mengadakan sesi soal-jawab dengan rakyat dan beliau telah disoal secara terperinci mengenai pelaburan mendiang ayahnya. Inilah sistem ‘semak dan imbang’ di negara maju yang menjamin ketelusan pentadbiran.
Malangnya, walaupun Malaysia mengamalkan sistem perlembagaan berparlimen Westminster, mengikut tradisi Britain namun semak dan imbang kita amat lemah dan hampir-hampir tidak wujud.
Butiran bagaimanakah kerajaan membelanjakan pungutan cukai tidak pernah diberitahu kepada rakyat. Kini dengan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mana mewajibkan semua peringkat umur dan latar belakang hidup membayar cukai maka menjadi wajib kerajaan memberitahu rakyat ke manakah aliran wang tersebut.
Kerajaan tidak boleh lagi menjelaskan secara umum ‘untuk membina hospital, rumah mampu-milik, sekolah atau jalan raya’. Rakyat berhak tahu butirannya secara terperinci, termasuk di manakah ia dibina, kos dan apakah manfaat yang diperolehi rakyat daripada projek-projek itu.
Tanpa melakukan semua itu maka Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan tidak layak mempraktikkan cukai-cukai rumit di negara maju seperti GST dan sebagainya.