KUALA LUMPUR 6 JULAI : Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya "mematuhi janji" dengan menyediakan stadium untuk perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Sabtu ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat juga berdiri teguh dengan Bersih 2.0 yang mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka.
"Maklumat akhir, perdana menteri dan Kementerian Dalam Negeri sengaja memberi pelbagai alasan untuk tidak membenarkan stadium digunakan," kata Anwar selepas mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat.
Petang tadi, pengurusan Stadium Merdeka menolak permohonan Bersih 2.0 untuk menyewa stadium itu tanpa memberikan sebarang alasan.
Penolakan itu dibuat hanya beberapa jam setelah seketariat Bersih 2.0 membuat permohonan berkenaan.
"Saya difahamkan Bersih 2.0 masih lagi merujuk kepada Najib supaya mematuhi janji beliau untuk menyediakan stadium supaya BERSIH dapat menganjurkan majlis dengan teratur dan aman sepertimana semangat (ketika mengadap) dengan Yang di-Pertuan Agong," kata Anwar.
"(Sebab itu) Kita menyokong tindakan keputusan Bersih 2.0 untuk meneruskan perhimpunan itu di Stadium Merdeka," kata Anwar yang juga ketua umum PKR.
Seketariat Bersih telah menulis surat kepada Perdana Menteri untuk mengatur perbincangan mengenai isu stadium itu, namun belum mendapat sebarang respon daripada Putrajaya.