Bersih : Pakatan Selar Hisham

KUALA LUMPUR 6 JULAI : Kepimpinan Pakatan Rakyat mengecam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana dianggap membelakangi titah Yang DiPertuan Agong (YDPA) bersabit perhimpunan Bersih 2.0, Sabtu ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun penganjur Bersih 2.0 bersetuju dengan syor kerajaan untuk mengadakan perhimpunan itu di sebuah stadium, tindakan keras polis ke atas penyokong gerakan itu diteruskan.

Polis, yang terletak dibawah KDN, masih melakukan tangkapan terhadap penyokong Bersih dan menghalang ceramah-ceramah penerangan mengenai keperluan mengadakan pilihanraya yang adil dan telus.
Polis juga masih menahan enam individu termasuk Ahli Parlimen Sungei Siput Dr D.Jayakumar di bawah Ordinan Darurat.

"Kita kesal dengan sikap keterlaluan Hishammuddin membelakangi Agong. Macam Agong ini berunding dengan pertubuhan haram," ujar Anwar.

Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam perkenan menerima menghadap rombongan Bersih yang kemudiannya akur dengan nasihat baginda supaya membatalkan sebarang tunjuk perasan jalanan. Bersih adalah gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihanraya.

Susulan pertemuan di Istana Negara itu, Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan mengumumkan pihaknya menerima tawaran kerajaan supaya perhimpunan itu diadakan di stadium.
Walaupun Yang DiPertuan Agong perkenan untuk berjumpa dengan rombongan Bersih semalam, Hishamuddin tetap mengambil pendirian bahawa gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu adalah haram dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bercakap di sidang media selepas mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat petand tadi, Anwar menyelar Hishamuddin danpolis kerana masih belum menghentikan tangkapan rawak, malah kini cuba menggambarkan Bersih sebagai diresapi unsur-unsur keganasan.

Polis Selangor dan Kuala Lumpur semalam mendakwa merampas senjata termasuk parang dan bom petrol yang kononnya disembunyikan untuk mencetuskan huru-hara semasa perhimpunan Bersih.

"Saya ingat dari tahun 1974 ada agen provokator yang akan menyalahkan orang lain. Kita biasa dengan taktik ini. Saya ingatkan pimpinan PR tidak akan bertolak ansur dengan taktik Umno yang ganas," katanya.

Sehubungan dengan itu Pakatan Rakyat akan mengerahkan lebih daripada 300 ribu rakyat untuk menyertai Bersih 2.0 di stadium yang bakal ditentukan nanti bagi menuntut pilihanraya adil dan telus, kata Anwar.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Stadium Merdeka sebagai lokasi terbaik melangsungkan program Bersih 2.0 itu nanti.

Beliau mengharapkan pihak berkuasa mengambil inisiatif untuk membantu melancarkan program itu nanti memandangkan ianya telah mendapat perkenan Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Saya gesa Menteri Dalam Negeri membantu melancarkan perhimpunan ini supaya masyarakat boleh lihat perubahan demokrasi yang matang. Hormatlah perjumpaan Agong dan Bersih," katanya.

No comments: